DELEGASI AFRIKA-ASIA JATUH HATI DENGAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

MACHAP JAYA 13 Ogos – Keramahan rakyat dan pengalaman melihat sendiri pembangunan komuniti di Melaka menjadi kenangan bermakna buat delegasi Afrika-Asia yang mahu membawa pulang idea itu sebagai inspirasi untuk diterapkan di negara masing-masing.

Delegasi Afrika-Asia yang menyertai Program Latihan Antarabangsa African-Asian Rural Development Organization (AARDO) di Felda Hutan Percha itu membabitkan peserta dari 18 negara yang mengikuti pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan komuniti dan pentadbiran tempatan.

Pengarah Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerajaan Tempatan, Republik Liberia, Peter V. Ciapha Jr berkata, pengalaman berada di Melaka memberi peluang kepadanya melihat sendiri bagaimana masyarakat terlibat dalam pembangunan komuniti serta menerima perkhidmatan kerajaan.

Menurutnya, Liberia yang baru memulakan proses atau usaha mendekatkan pentadbiran kerajaan dengan rakyat, boleh mempelajari banyak perkara dari Malaysia khususnya Melaka.

“Di Melaka, saya dapat melihat bagaimana masyarakat terlibat dalam agenda pembangunan komuniti mereka sendiri.

“Kami baru sahaja memulakan proses ini di negara kami, jadi saya datang ke Melaka untuk mendapatkan pengalaman dan mempelajari pembangunan yang telah dilaksanakan selama bertahun-tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 08 12 at 3.18.42 PM
PETER

Peter berkata perbezaan kehidupan masyarakat di Melaka dengan komuniti di Liberia turut menarik perhatiannya, sekali gus mendorong beliau memahami perubahan yang berlaku bagi mendapatkan idea yang boleh disesuaikan di negaranya.

“Kami merupakan pembuat dasar, jadi kami boleh mempelajari apa yang telah dilaksanakan di sini dan melihat bagaimana pendekatan tertentu boleh disesuaikan serta dilaksanakan di negara kami.

“Saya sangat gembira dapat berada di Melaka. Ini merupakan tempat yang sangat indah dan saya sangat menikmati budaya, makanan serta suasana sambutan yang diberikan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, delegasi dari Lebanon, Marwa Hammoud, 43, berkata pengalaman berada di Malaysia amat bermakna kerana memberi peluang kepadanya melihat sendiri kehidupan masyarakat dan budaya tempatan.

WhatsApp Image 2026 08 12 at 3.18.43 PM
MARWA

Menurutnya, keramahan masyarakat di Melaka menjadikan pengalaman lawatan itu lebih istimewa selain membuka ruang untuk memahami kehidupan serta pentadbiran di peringkat tempatan.

“Penduduk di Negeri Melaka sangat baik dan mesra. Saya dapat melihat lebih banyak tentang kehidupan masyarakat di sini dan pengalaman ini sangat menarik bagi saya,” katanya.

Marwa yang bertugas di Kementerian Pembangunan Lebanon berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Malaysia akan dikongsikan bersama rakan-rakannya apabila pulang ke negara berkenaan.

“Saya datang ke sini untuk mempelajari dan melihat sendiri bagaimana kehidupan masyarakat serta pentadbiran di peringkat tempatan.

“Kami mahu mendapatkan pengalaman daripada apa yang dilaksanakan di sini dan membawa pulang pengalaman tersebut untuk dipelajari serta dikongsi di negara kami,” katanya.

Kedua-dua delegasi berkenaan merupakan antara peserta program anjuran Pertubuhan Pembangunan Desa Asia-Afrika (AARDO) yang berpeluang mengikuti pengisian program itu di Felda Hutan Percha selama empat hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post PERZIM BAWA GENERASI MUDA SELAMI SEJARAH KEMERDEKAAN
Next post IKAN BAKAR TELOK MAS JADI FENOMENA