
ANAK SELANDAR CIPTA NAMA DALAM SUKAN PARA
DUYONG 14 Ogos – Kehilangan kaki dalam kemalangan jalan raya 17 tahun lalu tidak mematahkan semangat T. Yuvarajah untuk terus aktif dalam sukan, malah menjadikannya lebih cekal sehingga berjaya mengharumkan nama Melaka di pentas Sukan Para Malaysia (Para SUKMA).
Yuvarajah, 41, yang kini bertugas di Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), berkata beliau mula menceburi sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) selepas kemalangan pada 2009 yang menyebabkan kaki kirinya terputus.
Katanya, pengalaman itu pada awalnya menyebabkan dirinya berasa tertekan, namun sokongan keluarga serta rakan-rakan membantunya bangkit dan kembali aktif dalam bidang sukan.
“Memang masa itu saya berasa tertekan dan sedih, tetapi saya fikir kaki sahaja yang tiada, yang lain semua okey. Saya masih boleh berjalan dengan menggunakan kaki palsu dan boleh bekerja.
“Keluarga juga banyak memberi sokongan kepada saya untuk teruskan hidup dan menceburi bidang sukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Yuvarajah menerima Anugerah Ikon Sukan OKU pada Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
Menurutnya, sebelum kemalangan, dia aktif bermain bola sepak bersama keluarga sebelum diperkenalkan kepada sukan untuk golongan OKU.
“Selepas menjadi OKU saya memilih lawn bowls (sukan boling padang) dan kini aktif dalam sukan ini. Saya sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi pertandingan,” katanya.
Yuvarajah pernah meraih pingat emas dalam acara beregu pada Para SUKMA Kuala Lumpur 2022 sebelum memenangi pingat perak acara perseorangan pada Para SUKMA Sarawak 2024.
Selain itu, anak kelahiran Selandar itu turut pernah mewakili negara dalam acara sukan para, termasuk bola tampar duduk (sitting volleyball), selain meraih pingat perak dalam acara lawn bowls.
“Harapan saya adalah untuk terus beraksi pada Para SUKMA Selangor yang dijadualkan berlangsung September depan dan dapat menambah koleksi pingat buat Melaka.
“Penglibatan dalam sukan bukan sahaja membantu golongan OKU membina keyakinan diri, malah membuka peluang untuk mereka mengembangkan bakat sehingga ke peringkat negeri dan negara.
“Saya harap golongan OKU di luar sana tidak rasa rendah diri dengan fizikal mereka. Kalau ada bakat dalam sukan, minta kepada ibu bapa agar ketengahkan minat mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


