MELAKA HIDUPKAN PERMAINAN TRADISIONAL DENGAN SENTUHAN MODEN

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 14 Ogos – Usaha menghidupkan semula permainan tradisional menerusi pendekatan lebih kreatif dan moden menjadi antara inisiatif unik Kerajaan Negeri dalam memelihara warisan budaya serta mewariskannya kepada generasi akan datang.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, idea tersebut merupakan cetusan ilham Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu permainan tradisional diberi nafas baharu tanpa menghilangkan nilai warisan asalnya.

Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan permainan tradisional yang semakin dilupakan dapat terus relevan dan menarik minat masyarakat masa kini.

“Ketua Menteri seorang yang sangat dekat dengan seni dan budaya. Beliau pernah bertanya kepada saya bagaimana permainan tradisional boleh diangkat semula tetapi dalam bentuk yang lebih menarik dan sesuai dengan peredaran zaman.

“Kita melihat permainan tradisional perlu diberi pembaharuan dari segi reka bentuk dan kaedah permainan supaya lebih mesra pengguna, lebih interaktif dan mampu menarik minat generasi muda,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Jelas Abdul Razak, antara permainan yang dihidupkan kembali ialah Konda Kondi, yang sebelum ini dimainkan secara tradisional menggunakan tanah dan peralatan ringkas.

Menurutnya, permainan itu telah melalui proses penyelidikan dan penambahbaikan sebelum diperkenalkan semula dalam bentuk yang lebih moden serta praktikal.

“Kita kaji semula permainan ini. Dulu Konda Kondi dimainkan di kawasan lapang dengan perlu mengorek tanah dan menggunakan peralatan yang serba sederhana.

“Hari ini kita tampil dengan reka bentuk yang lebih kemas, mudah dibawa dan dimainkan di pelbagai lokasi tanpa perlu bergantung kepada kaedah lama,” katanya.

Abdul Razak berkata, pembaharuan itu turut membuka peluang ekonomi baharu apabila peralatan permainan yang dihasilkan menggunakan bahan tempatan itu boleh dikomersialkan.

Malah katanya, permainan Konda Kondi yang diperkenalkan semula itu kini telah didaftarkan sebagai harta intelek milik Kerajaan Negeri Melaka bagi memastikan identiti dan keunikannya terus terpelihara.

“Konda Kondi versi Melaka telah kita daftarkan dan dipatenkan. Ia bukan sekadar permainan, tetapi sebahagian daripada usaha memelihara warisan budaya negeri dan negara,” katanya.

Selain Konda Kondi, permainan Dam Aji turut diberikan sentuhan baharu dengan menampilkan elemen pelancongan negeri pada papan permainan dan buah dam yang digunakan.

Katanya, setiap komponen permainan itu direka dengan memasukkan imej serta identiti produk pelancongan Melaka sebagai medium promosi yang kreatif dan berkesan.

“Apabila orang bermain, mereka bukan sahaja berhibur tetapi turut mengenali produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Melaka.

“Secara tidak langsung permainan ini menjadi platform promosi pelancongan dan dalam masa sama memelihara warisan budaya yang kita miliki,” katanya.

Menurut beliau, permainan tradisional yang diberi nafas baharu itu kini semakin mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah turut menarik minat golongan dewasa.

Katanya, permainan berkenaan juga berpotensi dijadikan cenderamata pelancongan yang mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post ANAK SELANDAR CIPTA NAMA DALAM SUKAN PARA
Next post BAN 0.6 KILOMETER KURANGKAN RISIKO BANJIR KAMPUNG GADEK, LEGAKAN 7,000 PENDUDUK