
BAN 0.6 KILOMETER KURANGKAN RISIKO BANJIR KAMPUNG GADEK, LEGAKAN 7,000 PENDUDUK
GADEK 14 Ogos – Pembinaan ban sepanjang 0.6 kilometer (km) membantu mengurangkan risiko kejadian banjir yang menghantui penduduk Kampung Gadek dan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, inisiatif itu amat membantu dan memberikan kelegaan kepada lebih 7,000 penduduk kawasan berkenaan.
“Projek ini dilaksanakan pada hujung 2022 dan ketika ini mengurangkan risiko banjir hingga 80 peratus. Tidak ada lagi episod tolak kereta dalam banjir seperti ketika awal saya dipilih sebagai Adun Gadek.
“Sebenarnya usaha membina ban berkenaan terbantut berikutan jalan ke tapak pembinana perlu melalui tanah milik individu, namun selepas perbincangan dengan semua pihak berkenaan ianya terlaksana,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah MeSRa Ketua Menteri Bersama Masyarakat sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Masjid As-Syakirin, Kampung Gadek, di sini, 9 Ogos lalu.
Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pelaksanaan projek itu juga menjadi lebih lancar berikutan peruntukan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sudah tersedia.
“Semua ini adalah hasil kesepatan semua pihak, kalau tidak sampai sekarang mungkin masih tergantung. Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan semua pihak terlibat kerana prihatin serta menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

