
JANGAN BIAR DIABETES GELAPKAN PANDANGAN ANDA
Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

Oleh: Dr. Yeoh Shao Yin (Serena)
Pakar Mata
Oriental Melaka Straits Medical Centre
KENCING manis atau diabetes adalah penyakit yang dikenal pasti lebih dua alaf lalu. Penyakit ini dikaitkan dengan keadaan air kencing yang mengandungi gula, justeru lahirnya istilah ‘kencing manis’.
Saban hari, kira-kira satu setengah juta penduduk dunia didiagnosis menghidap penyakit kencing manis. Di Malaysia pula, satu daripada lima orang menghidap kencing manis, menjadikan negara kita antara yang mencatatkan kadar diabetes tertinggi di Asia Tenggara.
Apa yang lebih membimbangkan, lebih separuh daripada pesakit kencing manis tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini sehingga komplikasi mula berlaku. Kencing manis bukan sahaja boleh menjejaskan organ dalaman seperti buah pinggang dan jantung, malah ia turut menjadi antara punca utama kehilangan penglihatan dalam kalangan dewasa muda. Pada tahap permulaan retinopati diabetes, penglihatan pesakit masih tidak terjejas. Namun begitu, semakin hari, semakin teruk retinopati, dan penglihatan turut terjejas.
Risiko menghidap penyakit kencing manis secara umumnya boleh diklasifikasikan kepada dua faktor utama iaitu faktor yang boleh diubah suai seperti gaya hidup, dan faktor yang tidak oleh diubah suai seperti keturunan. Gaya hidup yang tidak sihat di samping faktor keturunan boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit kencing manis.
BAGAIMANA KENCING MANIS BOLEH MENYEBABKAN KEBUTAAN?
Retinopati diabetik merupakan komplikasi mata yang paling kerap berlaku akibat diabetes. Ia terbahagi kepada dua peringkat utama.
Pada peringkat awal, saluran darah kecil di retina mula membengkak dan mengalami kebocoran cecair atau darah. Pada peringkat ini, penglihatan pesakit mungkin masih kelihatan normal.
Namun, apabila penyakit semakin berkembang, saluran darah yang tersumbat menyebabkan retina kekurangan oksigen. Badan akan cuba membentuk saluran darah baharu yang tidak normal. Saluran darah yang baharu ini sangat rapuh, mudah pecah dan boleh menyebabkan pendarahan serius di dalam mata.
Keadaan ini juga boleh menyebabkan retina tertarik sehingga berlaku retina tertanggal (retina detachment). Pada tahap ini, peluang untuk mengembalikan penglihatan ke tahap normal adalah sangat rendah dan sebahagian besar pesakit boleh mengalami kehilangan penglihatan secara kekal.
Selain itu, katarak juga lebih mudah berlaku dalam kalangan pesakit diabetes. Katarak berlaku apabila kanta mata yang sepatutnya jernih menjadi keruh, menyebabkan pandangan menjadi kabur seolah-olah melihat melalui cermin berkabus. Pesakit kencing manis berisiko mendapat katarak pada usia yang lebih muda dan perkembangannya juga boleh berlaku dengan lebih cepat berbanding individu biasa.
Apabila saluran darah baharu yang tidak normal tumbuh di bahagian hadapan mata, ia boleh mengganggu aliran keluar cecair semula jadi mata. Keadaan ini menyebabkan tekanan dalam bola mata meningkat, lalu merosakkan saraf optik.
Glaukoma sering digelar ‘pencuri penglihatan senyap’ kerana ia boleh berlaku tanpa menunjukkan sebarang kesakitan pada peringkat awal.
Pada peringkat awal, masalah mata akibat kencing manis selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, segera dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut:
• Pandangan kabur secara tiba-tiba
• Melihat bintik-bintik hitam atau jaluran halus yang terapung (floaters)
• Sukar melihat dengan jelas pada waktu malam
• Penglihatan menjadi semakin gelap atau kehilangan sebahagian medan penglihatan
Bagi kes yang lebih serius, pakar mata mungkin mencadangkan rawatan seperti laser (fotokoagulasi), suntikan ubat ke dalam mata (anti-VEGF), atau pembedahan vitrektomi bagi membantu menyelamatkan penglihatan.
PENCEGAHAN ADALAH LANGKAH TERBAIK
Berita baiknya, sebahagian besar kes kehilangan penglihatan akibat diabetes boleh dicegah melalui langkah-langkah awal ini:
• Mengawal paras gula dalam darah, tekanan darah dan kolesterol kerana ia merupakan kunci utama dalam mengurangkan risiko komplikasi.
• Mengikuti pelan pemakanan, senaman serta pengambilan ubat seperti yang disarankan oleh doktor.
• Menjalani pemeriksaan mata secara menyeluruh (dilated eye examination) sekurang-kurangnya sekali setahun.
Merokok juga meningkatkan risiko komplikasi diabetes termasuk kerosakan pada mata. Oleh itu, berhenti merokok adalah satu langkah penting untuk menjaga kesihatan keseluruhan.
Senaman secara berkala juga membantu badan menggunakan insulin dengan lebih berkesan dan membantu mengawal paras gula dalam darah.
Diabetes boleh menjadi ‘pencuri penglihatan secara senyap’. Jangan tunggu sehingga penglihatan anda kabur. Pengesanan awal serta kawalan diabetes yang baik adalah kunci utama untuk mengekalkan penglihatan dan kualiti hidup anda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
397

