SHADAN DILANTIK KOMANDER REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Datuk Shadan Othman dilantik sebagai Komander Rejimen 514 Askar Wataniah Melaka yang baharu.

Pelantikan itu turut menyaksikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu menerima pengurniaan tauliah Kolonel sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab baharu yang dipikul beliau dalam mengetuai Rejimen 514 Askar Wataniah.

Menurut Shadan, pelantikan berkenaan merupakan satu amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran serta kesiapsiagaan pasukan di bawah pemerintahan Rejimen 514.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka yang mencalonkan namanya untuk mengisi jawatan berkenaan selepas penyandang terdahulu mencapai had umur perkhidmatan.

Katanya, pencalonan itu kemudiannya dipersetujui dalam mesyuarat pihak Tentera Darat sebelum beliau menerima pelantikan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mencalonkan nama saya untuk memegang jawatan Komander Rejimen 514.

“Upacara penyerahan tugas sebagai Komander Rejimen 514 dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan dan ia menjadi permulaan kepada tanggungjawab baharu yang perlu saya galas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Sukarela, Pegawai Kanan Tauliah Kehormat dan Pegawai Tauliah Baharu Askar Wataniah telah disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Shadan, pelantikan itu turut mencerminkan penglibatan kepimpinan awam dalam menyokong peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya menerusi pasukan Askar Wataniah.

“Rejimen 514 Askar Wataniah merupakan antara pasukan simpanan yang berperanan membantu memperkukuh pertahanan negara selain menjadi wadah penglibatan masyarakat dalam bidang ketenteraan.

“Justeru, saya melihat pelantikan ini sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan pasukan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik,” katanya.

Shadan berkata, tanggungjawab baharu itu turut menuntut komitmen dalam memastikan peranan Rejimen 514 dapat dilaksanakan dengan berkesan, khususnya dalam membantu ATM ketika diperlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan berkenaan tidak menjejaskan komitmennya sebagai Datuk Bandar MBMB untuk terus memastikan perkhidmatan perbandaran dan pembangunan bandar berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Pelantikan ini menambah satu lagi tanggungjawab kepimpinan kepada saya. Namun, amanah sebagai Datuk Bandar juga akan terus saya laksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR RM30,000 BANTU ADIK AIRA LAWAN KANSER LIMFOMA
Next post KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SUNTIK SEMANGAT PATRIOTIK RAKYAT MELAKA