
MAIM SALUR RM30,000 BANTU ADIK AIRA LAWAN KANSER LIMFOMA
AYER LIMAU 16 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan sumbangan RM30,000 bagi membantu seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Nur Aira Melissa Muammar Haziq yang kini berjuang melawan kanser limfoma tahap tiga.
Sumbangan berkenaan disalurkan atas saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi membantu meringankan beban keluarga Aira yang memerlukan kos rawatan keseluruhan dianggarkan RM80,000.
Aira yang disahkan menghidap kanser limfoma pada Mei lalu dijadualkan menjalani prosedur perubatan susulan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, keprihatinan MAIM dan Kerajaan Negeri diharap dapat membantu keluarga Aira meneruskan rawatan yang diperlukan.
“Bantuan RM30,000 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Aira, namun kos keseluruhan rawatan masih belum mencukupi dan masih berbaki kira-kira RM50,000.
“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai yang ingin berkongsi rezeki atau sama-sama membantu pemulihan kesihatan adik Aira supaya tampil menghulurkan sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Aira di kediaman mereka di Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pihak Japerun Ayer Limau mengambil perhatian terhadap keadaan Aira sejak awal dan berusaha mendapatkan bantuan bagi memastikan rawatannya dapat diteruskan.
“Sejak awal kita sudah peka dengan keadaan Aira dan mencari jalan untuk membantu termasuk membawa perkara ini kepada pihak MAIM bagi mendapatkan sumbangan.
“Kita akan terus memantau perkembangan kesihatan adik Aira dan berusaha mencari sumber bantuan bagi membantu keluarga menampung baki kos rawatan,” katanya.
Menurutnya, prosedur perubatan Aira tetap diteruskan pada 17 Ogos 2026 di IKN, Putrajaya meskipun keluarga masih berdepan kekangan kewangan untuk menampung keseluruhan kos rawatan.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi MAIM, Pejabat Japerun Ayer Limau atau menghubungi beliau secara terus.
“Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan keluarga Aira yang menetap di Taman Sri Aman, Masjid Tanah.
“Kita berharap dengan sokongan semua pihak, Aira dapat meneruskan rawatan tanpa tertangguh dan diberi peluang untuk kembali sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

