
WRUR AYER LIMAU BAWA 100 PROGRAM, SEMUA LAPISAN RAKYAT DISANTUNI
AYER LIMAU 17 Ogos – Hampir 100 program disusun bagi memeriahkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang dijadual berlangsung selama seminggu bermula 6 hingga 12 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pengisian yang dirangka meliputi pelbagai kelompok masyarakat daripada kanak-kanak, golongan muda hinggalah warga emas.
Menurutnya, kepelbagaian aktiviti itu termasuk program sukan, keagamaan, pendidikan dan informasi yang dirancang bagi memastikan manfaat WRUR dapat dirasai secara menyeluruh.
“Kita mahu semua peringkat umur dapat mengambil bahagian, daripada kanak-kanak, anak muda sehinggalah golongan berusia, supaya tiada yang tercicir daripada pengisian WRUR kali ini.
“Jadi, kita susun pelbagai program yang bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama berkumpul, tetapi turut memberi manfaat mengikut keperluan setiap kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Aira Melissa Muammar Haziq yang menghidap kanser limfoma tahap tiga di Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Nor Azmi Hussin.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, perancangan pengisian WRUR Ayer Limau turut mengambil kira pengalaman penganjuran program sama sebelum ini.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan aktiviti yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Kita mahu WRUR kali ini menjadi platform untuk kita mendekati masyarakat dengan lebih dekat, mendengar suara mereka dan pada masa sama menyediakan program yang memberi manfaat kepada semua.
“Semua warga DUN Ayer Limau diharap dapat bersama-sama menyertai program yang disediakan dan memanfaatkan pelbagai pengisian sepanjang tempoh WRUR,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


