
JAKIM DEKATI REMAJA, TANGANI ISU SOSIAL
PENGKALAN BATU 17 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneruskan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) ke seluruh negara dengan pendekatan lebih interaktif bagi meningkatkan kesedaran dan jati diri golongan remaja dalam mendepani isu sosial semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan memberi ruang kepada remaja mendapatkan pengetahuan, bimbingan serta kefahaman berkaitan pelbagai isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.
“Ini adalah penganjuran siri kedua selepas Zon Utara dan selepas ini ia akan diteruskan di seluruh negara.
“Apa yang kita ingin sampaikan menerusi program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada anak-anak, khususnya golongan remaja berhubung isu sosial yang berlaku dalam negara.
“Jadi pakar-pakar dan pihak berkuasa dipanggil untuk berkongsi mengenai isu sosial semasa selain memberi bimbingan kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program J-KIS Zon Selatan Tahun 2026 yang turut dihadiri Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.
Dr. Zulkifli berkata, pelaksanaan J-KIS akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kandungan dan pendekatan program lebih menarik serta dekat dengan golongan sasaran.
Katanya, pendekatan berkenaan tidak akan terhad kepada ceramah, sebaliknya turut merangkumi aktiviti seperti kuiz dan permainan bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar.
“Selain itu, kita turut memberikan ruang kepada pelajar dan guru untuk berinteraksi dengan lebih baik agar dapat memberi kefahaman kepada golongan remaja khususnya mengenai isu sosial semasa,” katanya.
Bagi J-KIS Zon Selatan, lebih 600 pelajar dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menyertai program berkenaan.
Program itu menjadi platform kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan secara langsung daripada pakar dan pihak berkuasa mengenai isu sosial semasa, selain menerima bimbingan dalam membentuk jati diri serta membuat keputusan yang lebih baik ketika berdepan cabaran persekitaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


