
WRUR TANJUNG BIDARA JADI TUMPUAN, SIRI TERAKHIR SELEPAS JELAJAH 28 DUN
SERI NEGERI 11 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang berlangsung 13 hingga 19 September ini bakal menjadi tumpuan apabila ia menjadi siri terakhir selepas program berkenaan menjelajah kesemua 28 DUN di Melaka.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, acara kemuncak pada 19 September dijangka mencatat kehadiran lebih 40,000 pengunjung, sekali gus menjadikan WRUR DUN Tanjung Bidara antara penganjuran terbesar tahun ini.
Menurut beliau, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program berkenaan termasuk hari aduan rakyat, program bersama wakil rakyat serta persembahan seni dan kebudayaan.
“Kita menyasarkan kehadiran tinggi berdasarkan sambutan orang ramai terhadap program berskala besar yang pernah dianjurkan di negeri ini sebelum ini.
“Kita anggarkan hampir 40,000 orang akan hadir untuk malam penutup pada 19 September itu sahaja, manakala jumlah kehadiran sepanjang tempoh pelaksanaan WRUR DUN Tanjung Bidara dijangka melebihi jumlah tersebut.
“Ia berikutan kawasan yang luas dan persembahan yang menarik. Insya-Allah ramai yang akan hadir memeriahkan WRUR terakhir ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Perjumpaan SUK Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat @ Limat; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Mengulas lanjut, Salhah berkata, persembahan khas turut disediakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka termasuk persembahan zapin membabitkan kira-kira 1,000 peserta, selain persembahan pentas lain.
Tambahnya, WRUR bukan sekadar program turun padang, sebaliknya menjadi platform Kerajaan Negeri untuk mendekatkan perkhidmatan awam dengan rakyat serta membantu menyelesaikan aduan yang dikemukakan.
“Selain daripada program WRUR ini, sebenarnya kita merakyatkan perkhidmatan awam. Semua ini adalah untuk kita pulangkan kepada rakyat melalui setiap aduan yang diberikan kepada jabatan dan agensi,” katanya.
Dalam pada itu, Salhah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut digerakkan bagi memastikan kelancaran program, khususnya dari aspek pengurusan trafik dan penyediaan parkir.
Katanya, kemudahan kenderaan perantara (shuttle) turut disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang program berlangsung.
“Kita akan menyediakan shuttle untuk memberi kemudahan kepada pengunjung dan kita akan pastikan agensi di bawah PBT membantu memastikan kawasan parkir dan sebagainya tersedia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


