MELAKA ANGKAT ILMU FALAK SEBAGAI AGENDA TVET

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Kerajaan Negeri mengangkat ilmu Falak sebagai antara silibus dan elemen dalam agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar mengenai ilmu falak yang mempunyai kaitan rapat dengan matematik, sains, teknologi dan aeroangkasa selain aspek agama.

Jelas beliau, antara pendedahan TVET yang diperkasakan adalah seperti teknologi dron, astronomi serta kemahiran teknikal kepada pelajar.

“Alhamdulillah, pembangunan ilmu falak di bawah Jabatan Mufti ini kita telah masuk dalam pembangunan TVET bagi Kerajaan Melaka. Kita bawa kerana pendedahan ini akan membantu para pelajar khususnya untuk meningkatkan kemahiran penggunaan dan penghayatan kepada ilmu astronomi.

“Ilmu ini ada kaitan dengan matematik, sains, teknologi dan ilmu aeroangkasa, selain mempunyai kaitan dengan agama berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhamad SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Abdul Halim, penganjuran karnival selama tiga hari itu memberi fokus kepada usaha memperkenalkan peranan ilmu falak kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, antara pengisian utama yang diadakan ialah pertandingan simulasi penggunaan, pembuatan dan aplikasi dron yang disertai 80 pelajar bagi memberi pengalaman secara langsung dalam mengendalikan serta menghasilkan teknologi berkenaan.

Beliau berkata, pendedahan itu turut dilengkapkan dengan kuiz Sains Falak kepada pelajar sekolah menengah yang dilaksanakan secara berkumpulan bagi menguji tahap pengetahuan serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Kami harap pada masa akan datang kita akan mendedahkan lebih banyak lagi pendedahan ilmu falak kepada pelajar sama ada sekolah rendah, menengah, IPT dan masyarakat,” katanya.

Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 11 September lalu di Kompleks Falak Al-Khawarizmi dengan pelbagai program pendidikan, bengkel dan aktiviti yang memberi pendedahan berkaitan ilmu falak kepada masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post MASYARAKAT DI HATI MPAG, SANTUNI ORANG KAMPUNG LONDANG
Next post USIA BUKAN HALANGAN, ‘TOK RAUF’ TERUS BERJUANG UNTUK RAKYAT