USIA BUKAN HALANGAN, ‘TOK RAUF’ TERUS BERJUANG UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Meniti usia yang bakal mencecah 65 tahun bukan alasan buat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk memperlahankan langkah, sebaliknya beliau tekad terus mencurahkan kudrat demi rakyat dan pembangunan Melaka.

Ab Rauf berkata selagi diberikan kesihatan dan kemampuan, beliau akan terus menggunakan tenaga yang ada untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat kampung, selain memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

“Biarlah patah sayap bertongkatkan paruh. Saya sudah berusia, bukan muda lagi. Tetapi dalam meniti usia senja ini, demi orang Melaka dan orang kampung kita, saya akan terus berusaha untuk memajukan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program WCare DUN Tanjung Bidara, Pendaftaran Ujian Subsidi Mamogram dan Ujian HPV DNA Percuma sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Balairaya Lubuk Redan, di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, usia dan kesihatan merupakan sebahagian daripada ketentuan kehidupan yang perlu diterima dengan hati terbuka, namun manusia masih mempunyai ruang untuk menentukan cara kehidupan itu diuruskan.

Menurutnya, penjagaan kesihatan, pemakanan dan hubungan baik sesama masyarakat perlu diberi perhatian bagi memastikan kehidupan dapat dilalui dengan lebih baik.

“Justeru, saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mensia-siakan waktu ketika dikurniakan kesihatan kerana keadaan boleh berubah pada bila-bila masa.

“Sifat kasih sayang dan silaturahim juga perlu menjadi amalan masyarakat kerana hubungan sesama manusia merupakan satu bentuk kekuatan ketika kita berdepan cabaran kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata segala pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri ketika ini perlu dilihat sebagai satu pelaburan untuk memastikan generasi akan datang menikmati kehidupan yang lebih baik.

Katanya, setiap pembangunan yang dilaksanakan hari ini tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan manfaat semasa, sebaliknya perlu mengambil kira kesan jangka panjang kepada anak cucu masyarakat Melaka.

“Kita majukan Melaka supaya anak cucu kita esok dapat merasai hasilnya. Apa yang kita buat hari ini, jangan salah langkah kerana segala usaha kita lakukan adalah untuk masa depan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post MELAKA ANGKAT ILMU FALAK SEBAGAI AGENDA TVET
Next post 15 TAHUN SURAT ‘SESAT’ KE RUMAH JIRAN, KAMPUNG DIGITAL AKHIRI KEKELIRUAN ALAMAT