15 TAHUN SURAT ‘SESAT’ KE RUMAH JIRAN, KAMPUNG DIGITAL AKHIRI KEKELIRUAN ALAMAT

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Lebih 15 tahun surat dialamatkan kepada keluarganya sering tersalah hantar ke rumah jiran yang terletak kira-kira 50 meter dari kediamannya, namun masalah itu kini berjaya diatasi menerusi pelaksanaan inisiatif Kampung Digital.

Dzameer Dzulkifli, 38, berkata kekeliruan berkenaan berlaku kerana nama bapanya dan jiran adalah sama, selain semua rumah di kampung berkenaan sebelum ini menggunakan alamat Batu 19 Kampung Londang sebagai panduan utama bagi urusan surat-menyurat.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan surat tersalah hantar, malah ada kalanya membabitkan dokumen penting termasuk surat tawaran melanjutkan pengajian adiknya.

“Nama penerima yang sama dan Batu 19 Kampung Londang sebagai panduan utama urusan surat-menyurat memang menimbulkan banyak kekeliruan. Dalam sebuah kampung pula ada lebih daripada seorang yang menggunakan nama sama.

“Kekeliruan itu menyebabkan surat kami dihantar ke rumah jiran, surat jiran pula dihantar kepada kami dan sebaliknya. Tetapi kerana sudah biasa, kami akan hantar semula kepada jiran jika surat berkenaan milik mereka,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Masyarakat Di Hati MPAG bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat DUN Tanjung Bidara yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di rumah keluarganya di Jalan Penghulu Said, Kampung Londang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Londang, Datuk Mutallif Che Mat.

Menurutnya, masalah berkenaan kini dapat diatasi apabila setiap rumah di kampung itu mempunyai alamat yang lebih tersusun dan khusus menerusi pelaksanaan Kampung Digital.

“Kalau rumah kami sekarang 27A Jalan Penghulu Said, Kampung Londang, kerja posmen jadi lebih mudah kerana mereka boleh ikut nombor rumah dan bukan lagi berpandukan nama penerima.

“Alhamdulillah, alamat Kampung Digital memang memudahkan urusan. Boleh kata tidak ada lagi kekeliruan dan surat tersalah hantar ke rumah orang lain selepas inisiatif ini dilaksanakan. Kerja posmen serta perkhidmatan kurier juga menjadi lebih cepat,” katanya.

Dzameer berkata, kekeliruan sebelum ini turut berpunca daripada penduduk setempat yang lebih mengenali penerima menggunakan gelaran atau nama panggilan berbanding nama sebenar seperti yang tertera pada surat.

“Contohnya saya sendiri, nama dalam MyKad Dzameer Dzulkifli tetapi orang kampung lebih kenal saya dengan panggilan ‘Komeng’, iaitu gelaran sejak zaman sekolah yang kekal sampai sekarang.

“Jadi apabila surat datang dengan nama sebenar, ditambah pula alamat yang sama, memang mudah berlaku kekeliruan. Sekarang keadaan sudah jauh lebih baik kerana setiap rumah mempunyai alamat sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post USIA BUKAN HALANGAN, ‘TOK RAUF’ TERUS BERJUANG UNTUK RAKYAT