SAYANG ANAK DATANG DARI HATI, BUKAN PERANTI – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Ibu bapa diingatkan supaya tidak menyerahkan tanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak kepada peranti teknologi, sebaliknya memastikan kasih sayang, perhatian dan pendidikan bermula daripada keluarga.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan teknologi yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian tidak seharusnya menghakis peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, asas pendidikan agama khususnya ilmu fardu ain dan ilmu syarak perlu diterapkan oleh ibu bapa sejak usia awal sebagai bekalan dalam membentuk peribadi dan kehidupan anak-anak.

“Sayang anak-anak datang dari hati, ingat, bukan sayang anak-anak datang dari peranti.

“Telefon sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, malah anak-anak kita diasuh hidup bersama teknologi, tetapi kita perlu tahu garis kehidupan bahawa asas memberikan didikan agama datang daripada kita sebagai ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi Keibubapaan dan Pelajar ‘Sinergi: Anak Cemerlang, Ibu Bapa Gemilang’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah: Kampung Kita di Villa d’Aqua, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ujian Penilaian Kelas Fardu Ain dan Al-Quran (UPKK) kepada 77 penerima daripada tujuh sekolah dalam DUN Tanjung Bidara.

Turut diadakan sesi motivasi keibubapaan dan pelajar yang disampaikan penceramah terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, ibu bapa tidak seharusnya terlalu bergantung kepada teknologi dalam mendidik anak-anak, sebaliknya perlu meluangkan masa bersama mereka serta memainkan peranan secara langsung dalam pembentukan sahsiah dan akhlak.

“Saya tidak mahu kita bergantung kepada peranti. Ajar anak-anak ilmu fardu ain, ilmu syarak supaya mereka tidak susah dan tersungkur di pintu syurga dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan dan sahsiah generasi muda menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada anak-anak serta keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post 15 TAHUN SURAT ‘SESAT’ KE RUMAH JIRAN, KAMPUNG DIGITAL AKHIRI KEKELIRUAN ALAMAT