MENARA TAMING SARI JADI HAB PROGRAM BUDAYA, WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 17 September – Menara Taming Sari bukan sekadar ikon pelancongan Melaka, malah berpotensi diperluaskan fungsinya sebagai lokasi penganjuran pelbagai program bagi menarik komuniti yang mempunyai minat terhadap budaya, tradisi dan warisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, penganjuran Keretapi Sarong 2026 2.0 yang menjadikan Menara Taming Sari sebagai lokasi penamat membuktikan kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk dimanfaatkan bagi pelbagai program.

Menurutnya, pendekatan berkenaan secara tidak langsung mampu menarik segmen pengunjung yang mempunyai kecenderungan terhadap unsur budaya dan warisan, selain pelancong yang datang semata-mata untuk menikmati produk pelancongan.

“Yang datang pada hari ini adalah mereka yang mungkin mempunyai minat yang mendalam kepada tradisi, unsur-unsur budaya dan juga warisan.

“Jangan fikir Menara Taming Sari ini sebagai satu ikon pelancongan semata-mata, tapi jadikan ia sebagai satu lokasi untuk menjalankan apa saja program,” katanya kepada pemberita selepas program Keretapi Sarong 2026 2.0, di sini, pada Rabu.

WhatsApp Image 2026 09 16 at 4.44.33 PM (1)
NUR Azan bergambar bersama peserta Keretapi Sarong 2026 Melaka.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Nasrul Ahmad serta kenamaan lain.

Nur Azan berkata, kehadiran pelbagai lapisan komuniti memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negeri kerana mereka mempunyai pengalaman dan minat berbeza ketika berkunjung ke Melaka.

Katanya, penganjuran program berasaskan budaya dan warisan juga membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali Melaka dari sudut yang lebih luas, selain menikmati produk pelancongan yang tersedia.

Menurutnya, Menara Taming Sari mempunyai beberapa kelebihan untuk menyokong penganjuran program berskala besar termasuk kawasan parkir yang luas serta kemudahan surau dan tandas awam.

“Jadi, kita melihat Menara Taming Sari ini bukan hanya sebagai satu tempat untuk orang datang naik menara, tetapi kawasan ini boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post RM21.5 JUTA PERKASA KESEJAHTERAAN WARGA EMAS, OKU, KANAK-KANAK
Next post WRUR TANJUNG BIDARA: INISIATIF TURUN PADANG ERAT HUBUNGAN RAKYAT DAN JABATAN BANTUAN GUAMAN