WARGA EMAS, ANAK AUTISME ANTARA AGENDA KEBAJIKAN KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Warga emas dan anak-anak autisme antara kumpulan diberi perhatian menerusi agenda kebajikan apabila lebih RM98.78 juta disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada 28,666 penerima di negeri ini bagi tempoh Januari 2026 hingga Julai lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, lebih RM51.25 juta membabitkan bantuan kepada 12,568 warga emas, manakala 423 anak autisme turut menerima manfaat menerusi peningkatan subsidi yuran pembelajaran daripada RM500 kepada RM1,000.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pendekatan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan terhadap keperluan kebajikan rakyat merangkumi pelbagai peringkat usia, aspek pendidikan dan pembangunan potensi orang kurang upaya (OKU).

“Kebajikan bukan hanya berkait bantuan kewangan, tetapi turut melibatkan usaha memastikan setiap golongan mendapat ruang untuk berkembang dan menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Menurut Ketua Menteri, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam memastikan jaringan kebajikan dapat diperluas supaya manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Melaka untuk memastikan kemajuan negeri bukan sahaja diukur melalui pencapaian ekonomi, malah turut mengambil kira kesejahteraan serta kehidupan rakyat.

“Kalau ada yang susah kita mesti hadir. Kalau ada yang tercicir kita mesti santuni. Dan kalau ada yang memerlukan peluang kita mesti buka jalan untuk mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post KEMAJUAN MELAKA AMBIL KIRA KESEJAHTERAAN SEMUA LAPISAN RAKYAT
Next post LEBIH RM7.5 JUTA MANFAATKAN 5,775 PENERIMA BANTUAN MESRA KEBAJIKAN