KEMAJUAN MELAKA AMBIL KIRA KESEJAHTERAAN SEMUA LAPISAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Kemajuan Melaka bukan sekadar diukur menerusi pembangunan ekonomi, tetapi turut dinilai melalui sejauh mana kemajuan itu membawa kesejahteraan serta kehidupan lebih bermaruah kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri mahu memastikan pembangunan yang dirancang turut mengambil kira keperluan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

“Kita tidak mahu hanya membina Melaka yang mesra pelabur dan mesra pelancong, tetapi Melaka yang mesra warga emas, mesra OKU dan mesra kanak-kanak.

“Inilah pelengkap sebuah negeri yang maju apabila kemajuan turut membawa kesejahteraan dan kehidupan yang bermaruah untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Ab Rauf berkata, pendekatan inklusiviti yang dibawa Kerajaan Negeri memastikan faktor usia dan keterbatasan fizikal tidak menjadi penghalang kepada seseorang untuk menikmati peluang serta kemudahan yang disediakan.

Katanya, perkara itu juga selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai antara perkara penting dalam pembangunan negeri.

“Usia tidak meminggirkan, keterbatasan tidak menutup peluang dan setiap anak berhak membesar dalam perlindungan sejajar dengan gagasan MeSRa,” katanya.

Beliau berkata, semangat itu diterjemahkan menerusi pelbagai aktiviti sepanjang sambutan seperti merentas desa, senam emas, pakaian beragam dan pameran interaktif yang membuka ruang kepada masyarakat untuk beriadah, berinteraksi serta mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan sokongan yang tersedia.

“Program begini turut menjadi jambatan antara kerajaan dengan rakyat bagi memahami keperluan sebenar masyarakat dan memastikan setiap dasar dilaksanakan terus berpijak pada realiti kehidupan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post IKAN MALONG 2.73KG BAWA REZEKI HARI MALAYSIA BUAT PEMANDU LORI