IKAN MALONG 2.73KG BAWA REZEKI HARI MALAYSIA BUAT PEMANDU LORI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 17 September – Bermodalkan hirisan ikan cabuk atau anak ikan parang sebagai umpan, pemandu lori, Muhammad Hairee Ali, 37, tidak menyangka ia akan disambar seekor ikan malong seberat 2.730 kilogram (kg) yang membawa rezeki buatnya sempena Hari Malaysia 2026.

Ia selepas ikan yang didaratkan itu muncul sebagai ikan terberat Pertandingan Memancing Hari Malaysia 2026 Tambak Klebang, sekali gus menobatkannya sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Menceritakan detik-detik menaikkan ikan tersebut, anak jati dari Kampung Bertam Ulu itu berkata, kira-kira jam 10.15 pagi, jorannya menerima sentakan kuat sebelum merasai ada perlawanan dengan spesies yang belum diketahui.

Dia berkata, perlawanan itu berlangsung kira-kira lima minit hinggalah melihat kelibat spesies panjang berwarna kuning dan bergigi tajam di permukaan air sebelum dibantu rakan-rakan untuk menaikkan ikan tersebut.

“Mula-mula joran disambar memang berdebar-debar. Bila dah naik, alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Tapi masa itu saya tak yakin lagi boleh jadi juara sebab di Tambak Klebang ini biasanya ikan besar-besar.

“Tapi selepas tamat pertandingan pada jam 1 tengah hari, saya amat bersyukur apabila dimaklumkan ikan yang didaratkan itu kekal sebagai tangkapan terberat dan berjaya,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Hairee berkata, kemenangan itu merupakan pencapaian terbesar sepanjang penyertaannya dalam pertandingan memancing dan disifatkan sebagai rezeki buat keluarganya.

“Ini rezeki keluarga. Saya belum tahu lagi hadiah ini nak buat apa, namun yang penting kemenangan ini memang sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Pertandingan Memancing Hari Malaysia 2026 itu merupakan sebahagian daripada pengisian program yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menarik kira-kira 500 peserta dari seluruh negara.

Antara peserta yang mengambil bahagian termasuk dari Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor, sekali gus menjadikan Tambak Klebang sebagai lokasi tumpuan kaki pancing sempena sambutan Hari Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA: BENIH SAYUR PERCUMA CETUS SEMANGAT USAHAKAN KEBUN KECIL