
24 DEKAN ICT TURUN PADANG, 380 PELAJAR SMK BUKIT KATIL TEROKA DUNIA TEKNOLOGI
BUKIT KATIL 18 September – Seramai 380 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil mendapat pendedahan secara langsung mengenai dunia teknologi apabila 24 Dekan dan Wakil Dekan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) daripada 23 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia turun padang berkongsi ilmu.
Menerusi program TECHventure! – Jelajah Dunia Teknologi Bersama Dekan-Dekan ICT, 11 Oktober lalu, pelajar Tingkatan 1 hingga 3 berpeluang meneroka bidang teknologi dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui sesi perkongsian serta interaksi secara langsung bersama barisan akademik bidang ICT.
Program itu menyaksikan pelajar dibahagikan kepada 14 kelas, dengan setiap kelas dikendalikan seorang Dekan atau Wakil Dekan ICT sebagai penyampai maklumat serta dibantu seorang fasilitator daripada Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Dekan FTMK UTeM, Prof. Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi berkata, pendedahan secara langsung daripada pemimpin akademik bidang ICT itu penting bagi membantu pelajar mengenali dunia teknologi dengan lebih dekat serta memahami peluang kerjaya yang tersedia dalam bidang berkenaan.
“Program ini dirangka khusus untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 hingga 3 tentang kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Interaksi bersama Dekan-Dekan ICT pada hari ini diharap memberi impak nyata dalam membentuk aspirasi kerjaya adik-adik dalam bidang teknologi, seterusnya melahirkan lebih ramai bakal peneraju teknologi negara,” katanya.
Menurutnya, pendedahan pada peringkat sekolah penting bagi membolehkan pelajar mengenali bidang teknologi lebih awal sebelum menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pengarah Program TECHventure!, Ts. Dr. Zuraini Othman berkata, seramai 14 pensyarah FTMK UTeM bertindak sebagai fasilitator bagi setiap kelas dengan dibantu Ahli Jawatankuasa Pelaksana FTMK.
Menurutnya, pendekatan secara interaktif itu memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi secara terus dengan ahli akademik dan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bidang teknologi.
“Program ini diharap dapat membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali bidang teknologi lebih awal, sekali gus membantu mereka membuat pilihan aliran akademik berdasarkan minat dan potensi masing-masing,” katanya.
Program anjuran FTMK UTeM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka itu turut menjadi sebahagian daripada komponen khidmat masyarakat (CSR) sempena Mesyuarat Majlis Dekan-Dekan ICT Universiti Awam Malaysia (MaDICT) Bil. 3/2026.
Selain sesi perkongsian, setiap pelajar turut menerima kit pembelajaran yang ditaja sepenuhnya menerusi komponen Young Engineers Explorers Programme (YEEP) di bawah Program Tuisyen STEM, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


