LEBIH 1,000 NELAYAN BERLESEN SELURUH MELAKA TERIMA ‘GPS FINDER’ SECARA BERPERINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Seramai 1,100 nelayan berlesen dan berdaftar seluruh Melaka dijangka akan menerima peranti ‘GPS Finder’ masing-masing selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagi fasa pertama peranti dwi fungsi sebagai ‘GPS tracker’ dan ‘fish finder’ itu dibekalkan kepada komuniti nelayan di Balai Nelayan Pasir Gembur.

Mengulas lanjut Dr. Muhamad Akmal berkata, proses penyerahan peranti berkenaan kepada nelayan mengambil masa kerana ia melibatkan proses perolehan dan sebagainya.

“Ini adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu nelayan untuk meningkatkan lagi hasil tangkapan dan pendapatan mereka. Ianya juga sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi, jadi kita lengkapkan nelayan Melaka dengan peralatan terkini.

“Setiap nelayan berdaftar akan mendapat satu unit peranti dan menariknya tidak boleh dijual kepada pihak lain kerana dilengkapi sistem RFID (‘Radio-Frequency Identification’). Apabila mahu memperbaharui lesen peranti nanti mereka perlu buktikan itu milik mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Taklimat Pembinaan Balai Nelayan Baharu Pasir Gembur, Penyampaian Sumbangan Nelayan Dan Sumbangan Insentif Belanja Rakyat bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Tapak Balai Nelayan Baharu Pasir Gembur, di sini, hari ini.

Terdahulu Dr. Muhamad Akmal bersama barisan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, barisanΒ Β Exco, Timbalan Exco dan Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas mengiringi Ketua Menteri menyempurnakan gimik pecah tanah pembinaan balai nelayan berkenaan.

Pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, April lalu beliau mengumumkan Kerajaan Negeri akan membekalkan peranti berkenaan sebagai usaha memodenkan sektor perikanan negeri ini.

Penggunaan teknologi itu diyakini mampu membantu nelayan memperoleh hasil lebih lumayan berbanding kaedah konvensional diamalkan sebelum ini.

Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri akan membekalkan peranti β€˜handle GPS’ kepada nelayan berdaftar dan berlesen seluruh Melaka menerusi peruntukan khas telah diumumkan sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post 24 DEKAN ICT TURUN PADANG, 380 PELAJAR SMK BUKIT KATIL TEROKA DUNIA TEKNOLOGI
Next post WRUR TANJUNG BIDARA: JABATAN BANTUAN GUAMAN PERLUAS AKSES KEADILAN