WRUR TANJUNG BIDARA: JABATAN BANTUAN GUAMAN PERLUAS AKSES KEADILAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) turun padang untuk memperluaskan pemahaman masyarakat mengenai akses kepada keadilan menerusi Wacana JBG ‘Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni’ bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Pengarah JBG Melaka, Muhammad Arif Marzuki berkata, penganjuran wacana itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 yang menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971.

Katanya, penganjuran wacana itu melibatkan kira-kira 150 orang peserta mewakili agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), asnaf, orang awam serta pelajar.

“Penganjuran program ini bukan hanya tertumpu mengenai skop perkhidmatan bantuan guaman yang disediakan tetapi juga berkaitan akta baharu.

“Melalui program ini, peserta khususnya akan lebih memahami skop perkhidmatan yang disediakan selain memastikan akses kepada keadilan dapat dicapai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Wacana JBG ‘Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni’ yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Tanjung Bidara Beach Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Mohd Radhi Abas.

Sementara itu Muhammad Arif berkata, van bergerak Klinik Bantuan Guaman juga digunakan sebagai pendekatan jabatan itu untuk menyantuni rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman.

“Turut dikenali sebagai ‘Justice on Wheels’ inisiatif ini memberi khidmat nasihat, bantuan guaman secara langsung kepada masyarakat, terutamanya golongan kurang berkemampuan dan penduduk luar bandar.

“Malah ia memudahkan akses keadilan dengan membawa perkhidmatan ke lokasi komuniti apabila Jabatan Bantuan Guaman turut turun dalam pelaksanaan WRUR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post LEBIH 1,000 NELAYAN BERLESEN SELURUH MELAKA TERIMA ‘GPS FINDER’ SECARA BERPERINGKAT
Next post MELAKA TERUSKAN PENDEKATAN ‘NON-PROTOCOL GOVERNMENT’ – AB RAUF