TOK RAUF TAK CAKAP KOSONG, BALAI NELAYAN MULA DIBINA, ‘GPS  FINDER’ SUDAH DITERIMA

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Dianggarkan dalam tempoh sebulan lagi komuniti nelayan di Pasir Gembur akan menikmati kemudahan balai nelayan serba baharu hasil keprihatinan, ikhtiar dan kesungguhan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu melihat komuniti itu selamat pergi serta pulang semula ke pangkuan keluarga selepas keluar mencari rezeki di laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pasir Gembur Rusli Othman, berkata komitmen Ketua Menteri juga mengakhiri penantian mereka sejak sedekad lalu yang amat mengimpikan kemudahan balai nelayan baharu.

Katanya, kemudahan serba baharu itu juga akan memudahkan urusan 27 nelayan untuk turun ke laut bagi mencari rezeki termasuk ketika melakukan persiapan dan memunggahkan hasil tangkapan ke darat.

“Syukur alhamdulillah, bagi saya ini juga adalah kejayaan terbesar Ketua Menteri sendiri, terbukti beliau bukan jenis sembang kosong atau cakap sahaja tetapi komited mengotakan apa dijanjikan kepada komuniti nelayan kawasan kami.

“Selepas ini urusan nelayan menurunkan atau menaikkan bot ke darat lebih selamat, tak perlu lagi ambil lajak macam ‘jet ski’, selain itu cara penyimpanan  kelengkapan menangkap ikan dan  bot juga menjadi lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Sesi Taklimat Pembinaan Balai Nelayan Baharu Pasir Gembur, Penyampaian Sumbangan Nelayan Dan Sumbangan Insentif Belanja Rakyat bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di tapak pembinaan Balai Nelayan Baharu, Pasir Gembur, di sini, hari ini.

Terdahulu Ketua Menteri yang diiringi Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas menyempurnakan gimik perasmian pembinaan balai nelayan berkenaan.

Rusli berkata, pada majlis sama nelayan Pasir Gembur turut menerima set ‘GPS Finder’ yang amat berguna bukan sahaja untuk mengetahui kedudukan di laut sebaliknya mengesan lubuk ikan.

“Alat ini memang menjadi idaman setiap nelayan kerana turut ber fungsi mengesan lokasi kumpulan ikan dalam jumlah yang besar namun harganya bukan, apabila diberikan percuma kami amat hargai inisiatif Ketua Menteri ini.

“Insya-Allah selepas ini urusan di laut lebih mudah, selamat dan kami pulang membawa hasil tangkapan yang lebih lumayan,” katanya.

September tahun lalu Ketua Menteri turun padang  meninjau sendiri  balai nelayan berkenaan  dianggarkan sudah berusia lebih 40 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan uzur dengan peralatan menangkap ikan  tidak tersusun.

Susulan itu beliau mengadakan mesyuarat bersama wakil nelayan, jabatan dan agensi berkaitan bagi menyegerakan pembinaan  balai nelayan baharu untuk manfaat  komuniti   Pasir Gembur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post LEBIH RAMAI ANAK MELAKA BAKAL NIKMATI TUISYEN PERCUMA
Next post ‘GPS FINDER’ KURANGKAN RISIKO NELAYAN SESAT, BANTU KESAN LUBUK IKAN