
LEBIH RAMAI ANAK MELAKA BAKAL NIKMATI TUISYEN PERCUMA
TANJUNG BIDARA 18 September – Program Insentif Tuisyen Percuma bakal diperluaskan ke semua daerah di Melaka bagi membuka peluang kepada lebih ramai anak-anak sekolah mendapatkan sokongan pembelajaran tambahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri akan memantau pelaksanaan program berkenaan sebelum mempertimbangkan peluasan inisiatif itu ke daerah-daerah lain.
Beliau berkata, konsep sistem tuisyen percuma berkenaan berpotensi diperluaskan sebagai satu lagi bentuk sokongan pendidikan kepada anak-anak sekolah di negeri ini.
“Kerajaan juga melihat bahawa konsep sistem tuisyen percuma ini boleh dipanjangkan kepada semua daerah dan ia tidak semestinya tertumpu kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti SPM sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.
Dalam ucapan sempena jelajah itu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara memaklumkan sebanyak RM12,000 disumbangkan sebuah yayasan menerusi Insentif Tuisyen Percuma yang memberi manfaat kepada lebih 80 anak-anak Tanjung Bidara.
Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan antara komitmen dalam memberi perhatian terhadap aspek pendidikan dan keperluan anak-anak di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, peluasan program itu akan memberi ruang kepada lebih ramai pelajar mendapatkan sokongan pembelajaran tambahan, termasuk mereka yang tidak menduduki peperiksaan utama.
Katanya, pendekatan berkenaan selaras dengan usaha memastikan inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


