BIMBINGAN MAIM JADI PEMACU NUR HIDAYAH BINA KEJAYAAN

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Bermula sebagai mualaf yang menerima bimbingan dan sokongan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Nur Hidayah Joseph Tan, 36, kini mampu berdikari menerusi perniagaan keluarga yang berjaya dipertahankan selama 25 tahun.

Lebih membanggakan, wanita yang memeluk Islam pada 2015 itu kini menerajui Mumtaz Industrial Solutions Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selain dipilih sebagai Ikon Sahabat Bimbingan MAIM pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) MAIM Tahun 2026.

Nur Hidayah berkata, bimbingan MAIM dan Balai Islam yang diterimanya sejak bergelar mualaf bukan sahaja memberi sokongan dalam aspek kehidupan, malah turut membantunya membina keyakinan untuk mengembangkan perniagaan keluarga.

“Sebagai mualaf sebelum ini kita banyak mendapat bantuan daripada MAIM dan Balai Islam. Jadi kita berusaha untuk naikkan syarikat dan mendapatkan lebih banyak keuntungan.

“Bila syarikat berkembang, kita juga boleh balas semula kepada masyarakat dengan menyertai program dan membuat sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Ikon Usahawan Bimbingan MAIM berupa wang tunai RM2,500 berserta plak dan sijil yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Anugerah MATIN MAIM Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, baru-baru ini.

Menurut Nur Hidayah, perniagaan keluarga itu telah beroperasi sebelum dia memeluk Islam dan diteruskannya selepas kematian ibunya.

Katanya, selepas pemergian ibunya, dia mengambil alih tanggungjawab menguruskan perniagaan yang menyediakan perkhidmatan menghasilkan acuan silinder percetakan untuk pembungkusan plexiglass.

Menurutnya, pengalaman melalui proses bimbingan sebagai mualaf turut mengubah caranya melihat cabaran dalam kehidupan dan perniagaan.

“Dulu kalau kita nampak cabaran, kita akan fikir itu masalah. Tetapi sekarang kita lebih banyak bersyukur dan percaya setiap kesukaran itu pasti ada jalan penyelesaiannya.

“Bila dah memeluk Islam, kita lebih percaya kepada Allah. Walau macam mana keadaan masyarakat dan ekonomi, kita bersyukur dan yakin akan ada jalan yang ditunjukkan Allah SWT.

“Hati pun lebih tenang dan bila buat bisnes, kita rasa lebih senang hati,” katanya.

Nur Hidayah berkata, sokongan MAIM turut merangkumi aspek promosi apabila pihak berkenaan menaja penyertaannya dalam sebuah pameran bagi memperkenalkan perniagaan kepada masyarakat.

Katanya, bantuan berkenaan bukan sahaja memberi peluang memperluaskan jaringan perniagaan, malah menunjukkan bahawa bimbingan yang diberikan mampu membantu golongan mualaf membina kehidupan lebih kukuh dan berdikari.

Sementara itu, Nur Hidayah berkata, wang tunai RM2,500 yang diterimanya akan digunakan bagi keperluan perniagaan.

Dia turut menzahirkan rasa syukur selepas dipilih sebagai ikon berkenaan kerana tidak pernah menyangka usaha yang dilakukan sepanjang menguruskan perniagaan mendapat perhatian MAIM.

“Saya berharap sokongan dan bimbingan berterusan ini dapat membolehkan lebih ramai golongan mualaf membina kehidupan yang lebih kukuh, seterusnya mampu berdikari dan memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

597
Kongsi :
Previous post MURID SK LUBOK REDAN TERUJA ‘UJI NASIB’ JAWAB SOALAN SPONTAN TOK RAUF