JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT ‘SERBU’ BAHULU WARISAN KAMPUNG JERAM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Suasana di premis Bahulu Warisan di Kampung Jeram, di sini, bertukar meriah apabila menjadi persinggahan konvoi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Pengusaha Bahulu Warisan, Nas Asyiqin Mohd Nazri, 32, berkata buat pertama kali dia merasakan kemeriahan itu apabila kedainya diserbu ratusan peserta jelajah yang diketuai Ketua Menteri Datu Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Tergamam dibuatnya apabila melihat kedai dipenuhi orang ramai kerana saya sangka Ketua Menteri akan singgah dengan beberapa orang sahaja seperti sebelum ini.

“Ini pertama kali kedai ‘diserbu’ ramai sebegini dan suasana amat meriah,” katanya yang berkongsi perasaan teruja ketika ditemui Melaka Hari Ini kedainya, pada Jumaat.

Kata, kunjungan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara bersama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri merupakan kenangan amat manis sepanjang dia membantu perusahaan baulu ibunya Siti Zuelliah Mohammad, 62.

“Selain singgah melawat, Ketua Menteri juga turut belanja peserta konvoi makan bahulu yang dijual. Terima kasih atas kunjungan Ketua Menteri ke kedai saya ini walaupun dalam kepadatan jadual beliau tetapi meluangkan masa menyantuni penduduk,” katanya.

Bercerita tentang perusahaan bahulu keluarganya, Nas Asyiqin berkata perusahaan bahulu berkenan bermula daripada usaha nenek dan ibunya yang menghasilkan kuih tradisional itu secara kecil-kecilan.

“Apabila permintaan semakin meningkat, perusahaan kian berkembang dan kaedah penghasilan turut berubah daripada menggunakan arang kepada ketuhar.

“Resipi nenek masih dikekalkan dan sekarang saya sebagai generasi ketiga meneruskan perniagaan Bahulu Warisan ini,” katanya.

Menurutnya, keluaran baulunya selain dijual kepada penduduk tempatan dia turut memasarkan di pasaraya termasuk ke utara tanah air.

“Permintaan baulu ini tidak menentu dan seperti selalu apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina pengeluaran pasti bertambah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post WRUR: 212 PROJEK, RM41.16 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN TANJUNG BIDARA
Next post PEJABAT KETUA MENTERI JAUH, HEBAT DEKATKAN KAMI DENGAN PEMIMPIN