PEJABAT KETUA MENTERI JAUH, HEBAT DEKATKAN KAMI DENGAN PEMIMPIN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Bagi pemandu teksi, Mohd Salleh Kadiron, 65, peluang bertemu pemimpin negeri secara bersemuka bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika perlu hadir sendiri ke Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Namun, Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara mengubah keadaan itu apabila pemimpin negeri turun sendiri mendekati masyarakat bagi mendengar masalah dan pandangan rakyat.

Mohd Salleh berkata, pendekatan turun padang itu amat membantu golongan bawahan sepertinya yang mungkin berdepan kekangan masa, pekerjaan dan jarak untuk hadir ke pejabat kerajaan.

“Pendekatan ini amat bagus untuk rakyat bertemu secara terus dengan pemimpin negeri mengadukan masalah. Adalah sukar rakyat bawahan seperti saya untuk ke Pejabat Ketua Menteri mengadukan apa juga masalah.

“Kewujudan HEBAT memberi gambaran bahawa urusan rakyat tidak semestinya perlu menunggu datang ke pejabat kerajaan, sebaliknya pemimpin sendiri mengambil peluang mendekati masyarakat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Tambah Mohd Salleh, dia yang mengambil kesempatan untuk membuat aduan mengenai isu pinjaman pelajaran anaknya di kaunter dan bertemu sendiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Jelasnya, pendekatan HEBAT itu wajar diteruskan kerana hubungan secara langsung antara pemimpin dan rakyat penting dalam memastikan masalah di peringkat akar umbi dapat diketahui.

“Rakyat ada macam-macam masalah…Ada yang nampak kecil, tetapi bagi orang yang mengalaminya, ia mungkin perkara besar. Bila ada program seperti ini, sekurang-kurangnya rakyat tahu ada ruang untuk mereka bercakap dan menyampaikan masalah

“Saya harap program ini diteruskan sebab manfaatnya memang dirasai rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT ‘SERBU’ BAHULU WARISAN KAMPUNG JERAM
Next post MELAKA SALUR RM250,000 NAIK TARAF KEM GERAK KHAS SUNGAI UDANG