
TANJUNG BIDARA ‘LUBUK’ KAKI PANCING, 1,140 BERENTAP DI BALIK BATU
TANJUNG BIDARA 19 September – Seramai 1,140 kaki pancing dari dalam dan luar Melaka menyertai Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026 di Kampung Balik Batu, di sini, sekali gus membuktikan potensi kawasan pesisir pantai berkenaan sebagai lokasi tarikan pelancongan berasaskan sukan dan rekreasi.
Pertandingan yang menawarkan penyertaan secara percuma itu diadakan bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara dan Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Menteri merangkap Adun Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Radzyma Mahat dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.
Menariknya, penganjuran pertandingan itu menawarkan hadiah lumayan iaitu juara membawa pulang wang tunai RM1,000, diikuti RM800 untuk tempat kedua dan RM500 bagi tempat ketiga.
Bukan itu sahaja, turut disediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal, televisyen serta barangan elektrik.
Penyertaan lebih 1,000 pemancing dari pelbagai lokasi itu sekali gus menjadikan pertandingan berkenaan sebagai antara acara utama yang merancakkan suasana Pesta Pantai Tanjung Bidara, selain memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat khususnya peniaga dan pengusaha kecil.
Penganjuran aktiviti berasaskan pantai seperti itu juga dilihat selari dengan usaha memperkukuh Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman rekreasi, komuniti dan aktiviti luar kepada pengunjung.
Pertandingan berkenaan dianjurkan Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka dengan kerjasama MPAG dan dikendalikan oleh Joran Unggul Event Management.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


