WRUR: 212 PROJEK, RM41.16 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Sebanyak 212 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM41.16 juta telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, pembangunan berkenaan merangkumi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, keagamaan, bekalan air, kemudahan masyarakat serta perlindungan kawasan pesisir bagi memenuhi keutamaan dan keperluan rakyat.

“Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk kerja pembaikan dan naik taraf bangunan, infrastruktur serta sistem kejuruteraan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah bernilai hampir RM800,000.

“Seterusnya, kita turut melaksanakan projek tangki sedutan berserta pam ke tangki Tanjung Bidara sedia ada bernilai RM1.3 juta, selain projek pengawalan hakisan pantai di Pengkalan Balak yang melibatkan RM21.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, beberapa lagi projek kini sedang dilaksanakan termasuk Dewan Terbuka Pasir Gembur bernilai RM500,000, tambahan bilik darjah IBS Modular di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak berjumlah RM800,000 serta kerja menaik taraf bumbung Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak bernilai RM1.3 juta.

Beliau berkata, pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan kebajikan rakyat Tanjung Bidara terus dipelihara.

“Bagi saya, pembangunan fizikal sahaja tidak memadai kalau kebajikan rakyat tidak kita pelihara.

“Sejumlah RM11.94 juta juga telah disalurkan kepada 2,512 penerima sebagai tanggungjawab saya meringankan beban rakyat Tanjung Bidara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post ANGKAT TANJUNG BIDARA JADI PERMATA PELANCONGAN PANTAI, EKOPELANCONGAN LUAR BANDAR
Next post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT ‘SERBU’ BAHULU WARISAN KAMPUNG JERAM