
‘KUMPAU’ TAPI ‘TAPAU’ MOTOSIKAL DI TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 23 September – Niat mahu menjadi juara pertandingan memancing, namun tuah belum memihak Shahrizal Sharudin, 34, apabila gagal menaikkan walau seekor ikan pada Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026.
Namun, siapa sangka di sebalik ‘kumpau’ terselit rezeki lebih besar apabila dia memenangi hadiah utama menerusi cabutan bertuah, sekali gus membawa pulang sebuah motosikal.
Shahrizal dari Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru berkata, dia langsung tidak menyangka namanya dipilih sebagai pemenang selepas menyertai pertandingan berkenaan tanpa meletakkan sebarang sasaran.
“Saya memang tak dapat ikan hari ini, tetapi tak sangka dapat motosikal. Memang gembira dan seronok sangat.
“Datang pun tidak target apa-apa, sekadar nak memancing. Tak dapat ikan, tetapi dapat motosikal, alhamdulillah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahmad di Kampung Balik Batu, di sini, Sabtu lalu.
Menurut Shahrizal, motosikal berkenaan akan digunakan sendiri dan menjadi hadiah yang cukup bermakna buatnya. “Motosikal memang dah ada di rumah, tapi saya akan simpan motosikal ini kerana ia menjadi kenangan yang cukup istimewa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana menganjurkan pertandingan memancing berkenaan yang bukan sahaja meriah, malah menjadi medan merapatkan ukhuwah dalam kalangan rakyat.
“Pertandingan memancing macam ini memang bagus. Suasana meriah dan dapat merapatkan ukhuwah antara peserta.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026 yang menawarkan penyertaan secara percuma itu menghimpunkan 1,140 peserta dari dalam dan luar Melaka, sekali gus memeriahkan aktiviti rekreasi dan pelancongan di kawasan Pantai Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


