AMBIL KIRA PELBAGAI FAKTOR TENTUKAN TARIKH BUBAR DUN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 22 September – Pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca dan kemungkinan berlaku bencana diambil kira Kerajaan Negeri dalam menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut bagi memastikan proses pilihan raya dapat berlangsung dengan baik dan mengikut persediaan yang sewajarnya.

“Kenapa saya pilih tarikh ini untuk membubarkan DUN kerana kita mengambil kira pelbagai faktor, antaranya faktor alam dengan kemungkinan berlaku banjir atau bencana. Jadi kita mengambil kira banyak sudut,” katanya pada sidang media khas selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri telah membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi proses pilihan raya, namun penetapan tarikh pengundian selepas pembubaran DUN adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, Ketua Menteri telah menyaksikan simbolik penyerahan Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka kepada Pengarah SPR Negeri Melaka Rudy Rohan Johan di Auditorium Seri Negeri.

Beliau sebelum itu mengumumkan DUN Melaka secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa esok (23 September 2026), sekali gus memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pada PRN Melaka ke-15, 20 November 2021 yang lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat majoriti dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri Melaka selepas memenangi 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi yang dipertandingkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post USAHA SANTUNI RAKYAT DI MELAKA BUKAN BAHARU, TELAH BERMULA TIGA TAHUN LALU
Next post TOK RAUF PUAS HATI BARISAN EXCO, ADUN BERIKAN KHIDMAT TERBAIK