
TOK RAUF PUAS HATI BARISAN EXCO, ADUN BERIKAN KHIDMAT TERBAIK
SERI NEGERI 22 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berpuas hati dengan prestasi barisan kepimpinan negeri termasuk Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang tempoh pentadbirannya.
Menurutnya, kerjasama semua pihak dalam melaksanakan pelbagai program mendekati rakyat membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti dan menangani permasalahan yang sebelum ini tidak sampai ke perhatian pentadbiran negeri.
“Pendekatan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Exco Bertemu Rakyat Negeri Melaka (HEBAT) turut memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat di setiap kawasan.
“Menerusi HEBAT sahaja kita dapat menyelesaikan daripada 5,000 aduan seluruh Negeri Melaka iaitu pada tahap 80 peratus meliputi pelbagai masalah antaranya kebajikan, kesihatan, sekolah, longkang dan lampu.
“Yang selebihnya kita dalam membuat penelitian dan juga kajian bagaimana untuk disalurkan bantuan, sama ada nanti kita akan mengangkat ke peringkat Persekutuan atau diselesaikan satu per satu mengikut aturannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, wakil rakyat kawasan turut memainkan peranan penting sebagai ‘mata, kepala dan telinga’ kepada pentadbiran Kerajaan Negeri dalam membawa isu rakyat untuk tindakan penyelesaian.
“Semua program yang kita jalankan sepanjang tempoh saya menjadi Ketua Menteri, kita telah dapat menjejaki pelbagai masalah yang sebelum ini tak pernah sampai ke meja seorang Ketua Menteri.
“Dalam kita memberikan penambahbaikan rumah-rumah yang terbiar, kita buat rumah-rumah baru secara percuma dan kita juga memberikan bantuan kepada mereka yang terlantar.
“Kita juga menilai peniaga-peniaga, usahawan-usahawan di dalam kawasan-kawasan yang selama ini tidak pernah didengar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


