LEBIH 200 PENCAPAIAN DILAKAR SEPANJANG TIGA TAHUN PENTADBIRAN AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI BENDAHARA 22 September – Lebih 200 pencapaian merentasi pelbagai bidang direkodkan Kerajaan Negeri sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, pencapaian itu melibatkan ekonomi dan pelaburan, kebajikan rakyat, pembangunan, pelancongan serta pendidikan.

Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian dilakarkan itu membuktikan Melaka tidak pernah berhenti melangkah.

Menurutnya, antara pencapaian penting ialah kejayaan Melaka mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam tempoh 22 tahun pada 2025, iaitu sebanyak RM14.68 bilion.

“Lebih 200 pencapaian telah kita lakarkan merentas pelbagai bidang, daripada ekonomi dan pelaburan, kebajikan rakyat, pembangunan, pelancongan, pendidikan hinggalah kepada pelbagai agenda lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita gerakkan ekonomi, kita bawa masuk pelaburan, buka lebih banyak ruang untuk pembangunan dan pekerjaan. Hasilnya, bagi tahun 2025 sahaja, Melaka berjaya mencatatkan nilai pelaburan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia Negeri Melaka yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, di Seri Bendahara, malam ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco serta Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.

Menurut Ketua Menteri, usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kebajikan turut menyumbang kepada kejayaan Melaka mengekalkan status sifar miskin tegar.

“Paling utama, menyebut sudut kebajikan, kita tidak mahu ada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan oleh sebab itu, peruntukan kebajikan teru ditingkatkan.

“Daripada RM66.07 juta pada 2024 meningkat kepada RM 76.96 juta pada 2025 dan pada 2026 ditingkatkan kepada RM78.67 juta,” katanya.

Jelas beliau, segala pencapaian itu menjadi sebahagian daripada lembaran pentadbiran negeri yang akan dinilai berdasarkan kesannya kepada rakyat dan pembangunan Melaka secara keseluruhan.

“Esok, satu lembaran pentadbiran negeri Melaka akan sampai ke titik noktahnya dan jika ditanya apa yang saya rasa selepas lebih tiga tahun memikul amanah ini.

“Sudah tentu ada rasa lega, rasa sebak dan paling penting, saya bersyukur kerana kita menutup lembaran ini dengan hasil kerja yang boleh dilihat, dirasai dan dinilai sendiri oleh rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post MELAKA HARGAI JASA PESARA POLIS