
JELAJAH KETUA MENTERI SEJAHTERAKAN RAKYAT, SUBURKAN PERPADUAN
DURIAN TUNGGAL 24 September – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menyuburkan lagi semangat kekitaan dan cakna terhadap individu sekeliling dalam kalangan penduduk di negeri ini.
Bagi Ramlah Yusof, 68, program itu menarik komuniti sekitar untuk berkumpul di satu lokasi kerana ianya diraikan dalam suasana penuh keharmonian dan keceriaan yang dikongsi rakyat pelbagai kaum.
Ramlah berkata, penganjuran jelajah juga menjadi tempat bagi komuniti warga emas seperti dirinya untuk berjumpa rakan tinggal di kampung lain selepas sekian lama tidak bersua akibat kekangan masa atau masalah kesihatan.
“Sesekali berkumpul macam ini memang seronok, menjamah makanan sambil bercerita kisah lama dan berkongsi perkembangan terkini membantu menceriakan golongan sudah berusia seperti saya.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan jelajah ini juga mengharmonikan hubungan antara kampung-kampung yang ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal ini. Saya datang bersama kumpulan ‘ngaji’ jadi dapat bertukar-tukar pandangan dengan komuniti sama dari kampung lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Kenduri Rakyat Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Durian Tunggal di Taman Pulai Indah, Kampung Pulau pada Isnin
Menurutnya lagi, paling penting jelajah itu menterjemahkan keprihatinan pemimpin setempat yang bersama-sama turun padang memeriahkan majlis selain bertanyakan khabar dan masalah dihadapi rakyat.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana tampil dengan inisiatif seperti ini, rakyat pula dapat berjumpa secara empat mata dengan pemimpin setempat, wakil jabatan dan agensi berkaitan bagi menyuarakan masalah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


