BELIA DURIAN TUNGGAL MAHU LEBIH BANYAK PELUANG KURSUS KEMAHIRAN, IDENTITI WARISAN KAMPUNG DIKEKALKAN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 September – Belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal mahu peluang mengikuti bengkel kemahiran praktikal dan keusahawanan digital terus diperluas bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Meskipun akur dengan pembangunan belia Durian Tunggal juga mahu warisan seperti permainan tradisional dan kesenian lain terus dipelihara dan menjadi sebahagian daripada identiti mereka.

Pekerja kilang dari Kampung Beringin, Siti Hajar Razak, 28, berkata kursus kemahiran seperti kulinari, pembuatan kek dan roti mampu membantu belia untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan kecil-kecilan.

“Begitu juga dengan kursus pemasaran digital menerusi media sosial, dengan menguasai kemahiran ini promosi menjadi lebih mudah, pasaran produk dihasilkan pula akan meluas.

“Pada masa sama, kita harap permainan dan warisan kampung dapat diketengahkan semula serta diperkasakan lagi supaya anak muda tahu asal usul tempat sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Siti Hajar berkata, usaha memperkenalkan semula permainan tradisional dan warisan setempat perlu dilaksanakan secara lebih tersusun supaya khazanah berkenaan terus dikenali serta diwarisi generasi muda.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia mempelajari kemahiran baharu, malah mampu mengeratkan hubungan antara generasi muda dengan komuniti serta mengenali sejarah kawasan tempat mereka membesar.

Siti Hajar berkata, keprihatinan kepimpinan tempatan dalam mengambil kira pandangan dan aduan masyarakat juga penting bagi memastikan keperluan golongan belia serta penduduk setempat terus diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post MPHTJ ANJUR PROGRAM CINTAKAN ALAM SEKITAR UNTUK MURID TABIKA