MPHTJ ANJUR PROGRAM CINTAKAN ALAM SEKITAR UNTUK MURID TABIKA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 23 September – Aktiviti menanam pokok bersama keluarga di Taman Botanikal memberi pengalaman baharu kepada 21 murid Tabika Perpaduan Pekan Gadek B berhubung kepentingan menjaga alam sekitar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata, program itu menjadi pendekatan pendidikan tidak formal yang membolehkan kanak-kanak memahami aspek penjagaan landskap menerusi pengalaman secara langsung.

Katanya, program itu turut memberi ruang kepada ibu bapa dan keluarga untuk bersama-sama melakukan aktiviti berkaitan alam sekitar.

“Kanak-kanak dapat belajar sendiri mengenai cara menanam pokok dalam pasu, secara tidak langsung kita memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan peserta cilik ini.

“Program berkenaan dimulakan dengan aktiviti sempena sambutan kemerdekaan menerusi pemasangan ‘puzzle’ poster kemerdekaan dan pembinaan poster Rukun Negara bersama ahli keluarga.

“Kemudian diteruskan dengan aktiviti menanam pokok bersama Jabatan Landskap MPHTJ, sekali gus memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti berkaitan landskap,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 09 22 at 12.10.43 PM (1)
AKTIVITI menanam pokok turut dilaksanakan pada program itu bagi memberi pengalaman kepada kanak-kanak. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya

Sapiah berkata, program sedemikian bukan sahaja menyumbang kepada keceriaan dan kebersihan kawasan taman awam, malah menjadi medium untuk membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kemudahan awam serta kelestarian alam sekitar.

“MPHTJ amat mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan, komuniti setempat, pihak swasta serta pelbagai agensi dalam menjayakan program seumpama ini.

“Kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti penting bagi membentuk masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memelihara persekitaran serta kemudahan awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post HASN 2026: MPJ DIIKTIRAF PERINTIS TENAGA BOLEH BAHARU, KELESTARIAN AGRO