HASN 2026: MPJ DIIKTIRAF PERINTIS TENAGA BOLEH BAHARU, KELESTARIAN AGRO

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

JASIN 24 September – Inisiatif Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memasang 87 unit lampu solar di lokasi awam serta sistem lampu pintar LED di Hab Halal Serkam mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Perintis Tenaga Boleh Baharu & Kelestarian Agro sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam memperluaskan penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu di daerah Jasin.

Katanya, selain pemasangan lampu solar di lokasi terpilih, MPJ turut mengambil langkah menetapkan syarat penggunaan lampu LED berkuasa solar atau lampu cekap tenaga bagi pembangunan baharu.

“Sebanyak 87 lampu solar dipasang di lokasi terpilih termasuk laluan kampung, jeti, medan selera dan kawasan rekreasi.

“MPJ juga memasang lampu pintar LED di Hab Halal Serkam yang boleh dikawal melalui Pusat Kawalan Nadi MPJ.

“Penggunaan lampu solar membolehkan tenaga matahari dimanfaatkan bagi pencahayaan awam selain sistem lampu pintar membantu MPJ mengurus dan menyelia pencahayaan di Hab Halal Serkam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Zahiruddin berkata, pembangunan projek solar hibrid pertama Melaka di Empangan Jus, Jasin, turut menjadi pemangkin penting kepada agenda tenaga boleh baharu di daerah berkenaan.

“Apabila projek Empangan Jus siap dan beroperasi, ia diunjurkan menjana sekitar 206 gigawatt jam (GWh) tenaga setahun serta mengurangkan pelepasan kira-kira 125,000 tan karbon dioksida setahun.

“Projek dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Jus Power Sdn Bhd membabitkan nilai RM437 juta selain
dijangka siap menjelang penghujung 2027,” katanya.

Katanya, penduduk Jasin turut menerima manfaat menerusi penyediaan pencahayaan di kawasan awam yang digunakan setiap hari.

“MPJ akan terus menilai keperluan lampu solar di lokasi yang sesuai, memantau pelaksanaan syarat pencahayaan cekap tenaga bagi pembangunan baharu selain meneliti peluasan sistem lampu pintar.

“Langkah berkenaan selaras dengan usaha MPJ memperkukuh aspek kelestarian perbandaran serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pembangunan daerah Jasin,” katanya.

Terdahulu, selain MPJ tiga lagi PBT Negeri Melaka yang lain turut menerima Anugerah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post HASN 2026: MBMB TERIMA ANUGERAH BANDARAYA WARISAN HIJAU