
MENARA TAMING SARI TARIK SEGMEN PELANCONG BERBEZA
BANDA HILIR 25 September – Menara Taming Sari berjaya menarik segmen pelancong dan pengunjung baharu yang mempunyai minat khusus terhadap budaya, tradisi dan warisan menerusi penganjuran Keretapi Sarong 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, kehadiran ribuan peserta menerusi program berkenaan memberi peluang kepada Menara Taming Sari memperkenalkan tarikan berkenaan kepada kelompok pengunjung yang mungkin hadir ke Melaka atas minat terhadap kebudayaan dan warisan.
Menurutnya, segmen itu berbeza daripada pengunjung yang lazimnya hadir ke Melaka khusus untuk menikmati produk pelancongan sedia ada.
“Jangan fikir mereka datang ke Melaka hanya semata-mata kerana kandungan produk pelancongan. Kali ini, yang datang adalah mereka yang mungkin mempunyai minat yang mendalam kepada tradisi, unsur-unsur budaya dan juga warisan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Justeru, beliau berkata, pendekatan berasaskan budaya seperti Keretapi Sarong memberi ruang kepada Menara Taming Sari untuk mendekati kelompok pengunjung yang mempunyai kecenderungan terhadap aktiviti kebudayaan.
Katanya, program berkenaan juga memberi peluang kepada peserta meneroka Menara Taming Sari selain menikmati pelbagai produk dan kemudahan pelancongan yang terdapat di sekitar Banda Hilir.
“Pendekatan seperti ini secara tidak langsung membantu memperluas segmen pasaran Menara Taming Sari dengan menggabungkan pengalaman pelancongan bersama elemen budaya dan warisan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


