
GAYA PENDEKAR GASING CURI PERHATIAN KETUA MENTERI
TANJUNG BIDARA 28 September – Jika anak ‘orang putih’ popular dengan permainan yoyo, remaja ini memilih untuk bermain gasing yang diumpamakan sudah sebati dengan jiwanya.
Sebagai orang muda Adam Tuah, Raimy Azizi, 14, berkata apa yang dilakukan bukan sekadar minat tetapi menterjemahkan impiannya iaitu mahu melihat permainan gasing terus popular dan berkembang.
Adam berkata, mungkin ada segelintir pihak yang berpandangan bermain gasing itu mudah, namun pada hakikatnya ia adalah sebaliknya kerana memerlukan kemahiran tertentu.
Katanya, sesuai dengan peredaran zaman permainan gasing yang dipersembahkan di khalayak juga diberikan nafas baharu agar lebih menarik terutamanya dalam kalangan orang muda.
“Hasil daripada latihan dan fokus saya sekarang sudah mampu untuk mempersembahkan gaya mengimbangkan gasing sedang berpusing yang diletakkan di dahi, siku dan dada.
“Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan fokus yang tinggi, kerana gasing yang digunakan ini beratnya adalah 800 gram,” katanya kepada Melaka Hari ini ketika ditemui pada Pesta Pantai Tanjung Bidara, di sini.
Terdahulu aksi remaja ini turut menarik perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang kagum dengan keunikkan gaya mengimbang gasing yang dipersembahkan.
Remaja ini berkata kemahiran itu dipelajari daripada bapanya Raimy Azizi Abd Karim yang terkenal dengan panggilan ‘Pendekar Gasing’ dalam kalangan penggiat permainan tradisional itu di Melaka dan Malaysia.
“Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, saya mempelajari teknik ini daripada ayah, dia juga mampu melakukan gerakan sama menggunakan gasing seberat lima kilogram.
“Saya mula bermain gasing sejak usia sembilan tahun dan insya-Allah akan terus menjaga permainan tradisional ini agar ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


