
SALHAH MAHU KAWASAN LAPANG ‘DIHIJAUKAN’, BERI MANFAAT KEPADA PENDUDUK TAMAN PERUMAHAN
AYER KEROH 29 September – Kerajaan Negeri mahu kawasan lapang yang disediakan dalam pembangunan perumahan di Melaka dimanfaatkan sebaiknya bagi mengelakkan kawasan berkenaan terbiar dan dipenuhi semak-samun.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, setiap pembangunan mempunyai syarat tertentu termasuk penyediaan kawasan lapang yang perlu dilihat semula daripada segi penggunaan dan manfaatnya kepada masyarakat.
Menurutnya, perkara itu turut diberi perhatian selepas beliau melihat sendiri keadaan sebuah kawasan lapang di Taman Maju, Jasin ketika menyertai Program Hari Cuci Malaysia 2026, Sabtu lalu.
“Mungkin kita kena lihat semula kawasan-kawasan lapang yang ada di negeri ini, mana kita boleh manfaatkan dan dihijaukan sedikit supaya ia tidak menjadi semak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bil. 9/2026 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff dan Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Mustafa Mohamed Baboo.
Beliau berkata, kawasan lapang yang disediakan sebagai sebahagian daripada syarat pembangunan perlu dirancang dan diselenggara dengan baik supaya dapat dimanfaatkan komuniti setempat.
“Pendekatan ini juga dapat memastikan kawasan lapang tidak sekadar memenuhi syarat pembangunan, sebaliknya memberi nilai tambah kepada persekitaran dan kehidupan masyarakat.
“Perhatian terhadap kawasan lapang turut selari dengan usaha pemeliharaan alam sekitar termasuk pemanfaatan peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang diterima negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


