DUN AYER LIMAU SEMAKIN BERCAHAYA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER LIMAU 29 September – Ayer Limau kini lebih ‘bercahaya’ apabila lebih 90 lampu dipasang di seluruh kawasan itu bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk serta orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia membabitkan pemasangan 60 lampu jalan dan 48 lampu di tanah perkuburan.

Katanya, sebanyak 35 lampu jalan disediakan menerusi peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG), dengan masing-masing melibatkan 18 dan 17 batang lampu.

“Untuk infrastruktur kecil, kita banyak laksanakan di DUN Ayer Limau, antaranya pemasangan lampu jalan.

“Sebanyak 18 batang lampu disediakan melalui JKR dengan peruntukan RM150,000, manakala 17 batang lagi melalui Pejabat Daerah Alor Gajah dengan peruntukan RM150,000. Kesemuanya dipasang di seluruh DUN Ayer Limau,” katanya.

Menurut Hameed, usaha menambah pencahayaan turut mendapat sokongan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi sumbangan 25 batang lampu jalan bernilai RM250,000 membabitkan kawasan-kawasan gelap yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, katanya, aspek keselamatan di kawasan perkuburan turut diberi perhatian apabila Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) tampil menyumbangkan 48 batang lampu untuk menerangi 12 kawasan perkuburan dalam DUN berkenaan.

“Untuk lampu di kawasan perkuburan pula, PTHM menyumbangkan 48 batang lampu bagi 12 kawasan perkuburan terpilih, dengan setiap kawasan menerima empat batang lampu.

“Ini penting bukan sahaja untuk pencahayaan, tetapi juga memberi keselesaan kepada masyarakat yang datang ke kawasan perkuburan terutama pada waktu malam,” katanya.

Hameed berkata, pelbagai inisiatif berkenaan membuktikan usaha berterusan untuk memastikan kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk terus ditambah baik.

Katanya, penambahan lampu jalan di lokasi strategik turut membantu meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk, khususnya di kawasan kampung yang mempunyai pencahayaan terhad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

554
Kongsi :
Previous post TAPEM SASAR BAYARAN BALIK PINJAMAN PENDIDIKAN LEBIH TINGGI TAHUN INI