CHIKO JADI ‘GURU’ ZOO MELAKA PERKASA PEMBIAKAN HARIMAU MALAYA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 30 September – Pengalaman bersama Harimau Malaya jantan, Chiko dalam program pembiakan dalam kandang (MyBIT) kini menjadi ‘ilmu’ penting kepada Zoo Melaka bagi memperkemas strategi pembiakan spesies terancam itu.

Pegawai Sains Zoo Melaka, Muhammad Rafiq Jasmi berkata, meskipun Chiko tidak menghasilkan zuriat sepanjang ditempatkan di Zoo Melaka dari April 2025 hingga Ogos 2026, kehadirannya memberi peluang kepada pasukan zoo mengumpul maklumat penting berkaitan tingkah laku, keserasian dan tindak balas harimau jantan serta betina.

Katanya, maklumat itu penting kerana kejayaan pembiakan harimau tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan kelahiran anak, sebaliknya memerlukan pemahaman mendalam terhadap biologi, tingkah laku dan karakter setiap individu.

“Kalau nak cakap tidak berjaya, pada saya bukan tidak berjaya tetapi ia adalah satu perjalanan pembelajaran yang panjang.

“Chiko sebelum ini dijadikan model untuk pasukan meneliti tingkah laku harimau jantan dan betina, termasuk bagaimana kedua-duanya diperkenalkan, disesuaikan dan menunjukkan tindak balas dalam proses pembiakan.

“Di situ kita gunakan Chiko sebagai model untuk melihat bagaimana sikap atau ‘behaviour’ jantan dan betina serta bagaimana proses untuk kedua-duanya mengawan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafiq berkata, pengalaman bersama Chiko turut membantu Zoo Melaka memahami bahawa setiap harimau mempunyai karakter dan tindak balas tersendiri.

Justeru, katanya, pendekatan pengurusan dan pemilihan pasangan yang bersesuaian perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan keberkesanan program pembiakan Harimau Malaya.

Kini selepas lebih setahun, Chiko yang berasal dari Zoo Kemaman, Terengganu, kembali ke lokasi asalnya menerusi pergerakan yang diatur Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebagai sebahagian daripada pengurusan populasi harimau secara berkala.

“Langkah pertukaran harimau jantan dan betina mengikut keperluan program pembiakan ini amat penting bagi memastikan pengurusan populasi serta kepelbagaian genetik terus diberi perhatian.

“Pengalaman Chiko membuktikan bahawa dalam misi menyelamatkan Harimau Malaya, seekor harimau yang tidak menghasilkan anak tetap mampu meninggalkan sesuatu yang lebih bernilai, iaitu pengetahuan yang boleh digunakan Zoo Melaka untuk memperbaiki pendekatan pembiakan.

“Ilmu yang dikumpul ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha memastikan kelangsungan spesies Harimau Malaya pada masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post WANITA CERIA LUBOK CHINA CIPTA TART NASI LEMAK, KUIH LOPES
Next post DUN AYER LIMAU: AGAMA SUBUR, PERPADUAN MEKAR