
LEBIH 31,000 RAKYAT MELAKA TERIMA MANFAAT MESRA KEBAJIKAN
AYER KEROH 30 September – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) menerusi inisiatif MeSRa Kebajikan, apabila sejumlah RM118.363 juta bantuan kewangan disalurkan kepada 31,242 penerima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, jumlah berkenaan membabitkan pelbagai skim bantuan disalurkan menerusi Skim Persekutuan dan Skim Negeri bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.
“Daripada keseluruhan penerima, 28,850 orang memperoleh manfaat menerusi Skim Persekutuan membabitkan peruntukan RM113.311 juta, sementara itu 2,392 lagi menerima bantuan Skim Negeri dengan jumlah peruntukan RM5.051 juta.
“Pelaksanaan bantuan ini adalah antara usaha Kerajaan Negeri melalui gagasan MeSRa untuk memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.
Menurut Kalsom, daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 16,629 orang, membabitkan peruntukan RM63.696 juta, diikuti Alor Gajah dengan 7,580 penerima melibatkan RM28.544 juta.
“Bagi daerah Jasin pula, seramai 7,033 penerima menerima bantuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM26.122 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berkata, selain bantuan kewangan, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan khusus golongan rentan menerusi Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang Dewasa dan Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar.
“Bagi pelaksanaan Fasa Satu (Januari hingga Mac) hingga Fasa Tiga (Julai hingga September) 2026, kedua-dua bantuan berkenaan merekodkan 3,345 penerima, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM3.085 juta.
“Daripada jumlah itu, 2,962 penerima menerima Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang Dewasa, manakala 383 penerima menerima Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar.
“Pembekalan bagi Fasa Empat tahun 2026 untuk Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang Dewasa dan Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar dijadualkan bermula pada minggu pertama Oktober,” katanya.
Kalsom berkata, bantuan berkenaan penting bagi membantu meringankan beban keluarga yang terpaksa menanggung kos penjagaan individu terlantar serta keperluan lampin pakai buang secara berterusan.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan aspek kebajikan diberikan perhatian, khususnya membabitkan golongan rentan yang memerlukan sokongan berterusan.
“Pelaksanaan MeSRa Kebajikan merupakan antara pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperluas jaringan bantuan kepada rakyat selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
Jelasnya, langkah itu dijangka terus memberi sokongan kepada penerima yang memerlukan bantuan terutamanya keluarga yang menjaga pesakit atau individu terlantar di rumah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


