‘KALAU JEMPUT DIA TAK NAK, TAK APA..KALAU DIA DATANG, KITA BERUNDING’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka menghormati pendirian mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dengan menegaskan ruang rundingan masih terbuka.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun ada desas-desus mengatakan gabungan itu tidak akan bekerjasama pada PRN kali ini, namun pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan PH untuk menentukan pendirian rasmi berhubung tawaran rundingan berkenaan.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, kenyataan yang dibuat oleh individu tertentu tidak semestinya menggambarkan keputusan rasmi sesebuah gabungan.

“Itu hak masing-masing. Kita memilih keterbukaan ini bagi meraikan demokrasi, pentas demokrasi Malaysia seperti mana yang dijanjikan.

“Kalau kita jemput ‘dia’ tak nak datang, tak apa. Kalau jemput ‘dia’ datang, kita berunding,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, di sini malam tadi.

Ab Rauf berkata, pihaknya akan menunggu keputusan rasmi Majlis Presiden PH sebelum membuat sebarang kesimpulan dan tidak akan memaksa mana-mana parti untuk menerima tawaran kerjasama, sebaliknya menghormati sebarang keputusan yang dibuat.

“Yang penting daripada keputusan Majlis Presiden PH. Kalau Majlis Presiden PH kata tak nak, tak apa.

“Kita tunggulah selepas jemputan rasmi ini dibuat, sama ada perbincangan ini boleh dijalankan ataupun keputusan untuk bersama ini boleh diteruskan ataupun tidak,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini memaklumkan UMNO tidak akan memaksa PH untuk bekerjasama, namun ruang rundingan masih terbuka.

Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata PH tidak akan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka, manakala pendirian muktamad gabungan itu perlu dilihat melalui keputusan Majlis Presiden PH.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

739
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RUNDINGAN RAKAN STRATEGIK BN DITUNDA
Next post ‘MEMANG MATA TAK NAMPAK, TAPI SAYA CAM ITU SUARA AH SEM’