ZOO MELAKA ADA ‘BOARDWALK’ BAHARU, PENGUNJUNG LEBIH SELESA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 3 Oktober – Laluan pejalan kaki atau ‘boardwalk’ sepanjang kira-kira 800 meter di Zoo Melaka kini dinaik taraf dengan peruntukan RM300,000 bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada pengunjung.

Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, peruntukan berkenaan diluluskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja menaik taraf dan penyelenggaraan laluan berkenaan.

Menurutnya, kemudahan ‘boardwalk’ itu sememangnya telah tersedia di Zoo Melaka sebelum ini, namun kerja penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan keadaan laluan berada pada tahap lebih baik.

“Kerja sekarang sudah di peringkat akhir membabitkan ‘touch up’ dan kemasan. Kita menjangkakan kerja ini siap sepenuhnya pada minggu hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Ahmad Azlan mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh mengadakan Lawatan Kerja dan Sesi Pembentangan Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) dan Zoo Melaka Sdn Bhd di Zoo Melaka, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Datin Elya Juliana Abdul Wahab dan Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid.

Ahmad Azlan berkata, penambahbaikan berkenaan diharap dapat memberi pengalaman lebih baik kepada pengunjung, selain memastikan mereka dapat menggunakan laluan berkenaan dengan lebih selamat dan selesa.

“Penambahbaikan ini penting supaya pengunjung yang datang ke Zoo Melaka dapat menikmati kemudahan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan pengalaman mereka sepanjang berada di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post MAIM NAFI PREMIS PANEL NAIKKAN HARGA BARANG BANTUAN
Next post 7 TAHUN DALAM ‘GELAP’, HAMDAN RINDU KEMBALI BEKERJA