7 TAHUN DALAM ‘GELAP’, HAMDAN RINDU KEMBALI BEKERJA

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 Oktober – “Meskipun tahu mata saya mungkin tidak akan pulih sepenuhnya, harapan saya cuma satu, untuk terus dapat bangun, bekerja dan mencari rezeki.

“Serik rasanya apabila tidak dapat bergerak dan hanya perlu duduk sahaja,” kata Hamdan Hashim, 39, yang menghidap penyakit jarang jumpa, Stevens-Johnson syndrome (SJS).

Sindrom berkenaan menyebabkan penglihatan mata kanannya hilang sepenuhnya, manakala mata kirinya pula semakin kabur sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak dan menjalani kehidupan seharian.

Hamdan berkata, kehidupannya berubah selepas diserang SJS pada Januari 2017 susulan pengambilan antibiotik yang diberikan doktor bagi merawat masalah sakit mata.

“Semuanya tidak diduga. Ia bermula apabila mata saya tiba-tiba sakit selepas mengemas stor di tempat kerja dan ketika itu saya menyangka ia hanya sakit mata biasa.

“Namun selepas mengambil antibiotik yang diberikan klinik dan hospital, keadaan bertambah teruk sehingga saya koma lebih seminggu dan dirawat di hospital kira-kira dua bulan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima kunjungan Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang diketuai Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat, Norazmi Hussin di kediamannya di Kampung Morten.

Menurutnya, selepas tersedar daripada koma, bukan sahaja penglihatannya terjejas, malah kulit seluruh badannya turut menjadi kemerah-merahan dan kelihatan seperti mengalami kesan terbakar.

Dalam tempoh setahun selepas itu, Hamdan ditemani isterinya, Nur Hidayah Hassan, 38, berulang-alik menjalani pelbagai prosedur rawatan di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buloh sebelum menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya percaya akan ada keajaiban dan mata saya akan kembali sembuh. Namun bulan berganti bulan, keadaan tetap sama dan emosi saya turut terjejas kerana tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya dimaklumkan hospital kerajaan tidak dapat memberikan rawatan yang diperlukan, sebelum menjalani pembedahan mata kiri pada 2018 dengan kos kira-kira RM24,000 di sebuah hospital swasta,” katanya.

Hamdan berkata, pembedahan berkenaan membuahkan hasil apabila penglihatan mata kirinya bertambah baik dan membolehkannya bergerak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada isterinya.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila penglihatan mata kirinya kembali kabur sejak tahun lalu dan kini memerlukan pembedahan susulan dengan kos kira-kira RM30,000.

“Doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan bulan ini, tetapi kos yang diperlukan agak tinggi. Saya dan isteri akan terus berusaha mencari jalan untuk mendapatkan jumlah yang diperlukan.

“Namun saya bersyukur apabila nasib saya mendapat perhatian MAIM yang tampil untuk membantu sebahagian kos pembedahan ini. Saya sangat berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, dia kini hanya mengharapkan peluang untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan agar penglihatannya dapat dipulihkan semula, sekali gus membolehkannya kembali bekerja dan menjalani kehidupan bersama keluarga.

“Kalau dapat melihat semula walaupun tidak seperti dahulu, itu sudah cukup bagi saya. Saya cuma mahu bekerja dan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

652
Kongsi :
Previous post ZOO MELAKA ADA ‘BOARDWALK’ BAHARU, PENGUNJUNG LEBIH SELESA