
MASJID AL-JAWAHIR, WARISAN 115 TAHUN YANG TERUS DIIIMARAH
TANJUNG BIDARA 3 Oktober – Berdiri sejak 1911, Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak bukan sekadar menjadi tempat ibadah masyarakat setempat, malah menyimpan sejarah panjang perkembangan komuniti di kawasan berkenaan sejak lebih satu abad lalu.
Pengerusi Masjid Al-Jawahir, Mohd Said Harun berkata, berdasarkan sejarah yang diketahui pihak jawatankuasa, struktur asal masjid berkenaan dipercayai dibina pada 1911 sebelum melalui proses pembaikan dan penambahan secara berperingkat mengikut keperluan jemaah.
Menurutnya, pada 1959 masjid berkenaan difahamkan telah dibina semula, manakala persekitarannya kemudian diperluaskan dengan penambahan ruang di bahagian sisi dan belakang sehingga membentuk struktur seperti yang dapat dilihat hari ini.
“Kalau ikut sejarah, masjid ini dibina pada 1911 iaitu era penjajahan lagi dan pada 1959 ada satu kerja baik pulih besar atau pembinaan semula masjid ini sehinggalah strukturnya dibesarkan sedikit demi sedikit.
“Jadi, kalau kita tengok masjid ini sekarang, ia sebenarnya berkembang mengikut keperluan jemaah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada solat jumaat pertama Masjid Al-Jawahir selepas setahun dibaik pulih.
Mohd Said berkata, perubahan struktur itu menyebabkan sebahagian besar peninggalan asal masjid tidak lagi dapat dilihat, namun beberapa elemen lama masih menjadi sebahagian daripada identiti masjid berkenaan.
“Yang masih kita boleh nampak antaranya mimbar lama dan tabung yang berada di tepi dinding. Tabung itu memang sudah ada sejak saya kecil lagi.
“Walaupun kita tidak dapat pastikan usia sebenar tabung itu, ia memang sudah menjadi sebahagian daripada masjid sejak sekian lama,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan bentuk dan perkembangan bangunan, struktur asal masjid berkenaan dipercayai berbeza daripada keadaan sekarang, malah terdapat kemungkinan ia pada awalnya dibina menggunakan struktur kayu sebelum berkembang menjadi struktur berbatu seperti hari ini.
Malah, ujarnya, di kawasan persekitaran Masjid Al-Jawahir juga turut mempunyai beberapa bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Antaranya, terdapat sebuah rumah berhampiran masjid yang dikatakan pernah menjadi markas tentera Jepun suatu ketika dahulu, namun rumah berkenaan telah dirobohkan dan kini menjadi penempatan penduduk.
“Jadi, kawasan sekitar masjid ini sebenarnya mempunyai banyak cerita dan sejarah yang mungkin tidak diketahui oleh generasi hari ini,” katanya.
Mohd Said berkata, sejarah panjang Masjid Al-Jawahir perlu terus dipelihara supaya generasi akan datang bukan sahaja dapat menggunakan masjid berkenaan sebagai tempat ibadah, malah mengenali nilai sejarah yang ada padanya.
“Ini bukan sekadar bangunan masjid. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di sini sejak sekian lama.
“Kita mahu masjid ini terus digunakan dan diimarahkan, tetapi pada masa sama sejarahnya juga perlu kita jaga supaya generasi akan datang tahu bahawa masjid ini sudah wujud sejak 1911,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

