SENTUHAN TOK RAUF PASTIKAN RAKYAT TANJUNG BIDARA SELESA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Oktober – Meskipun infrastruktur asas di Tanjung Bidara berada pada tahap baik, aspek penyelenggaraan serta keperluan kecil yang memberi kesan besar kepada keselesaan penduduk terus diberi perhatian Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, tumpuan kini diberikan kepada memastikan kemudahan sedia ada seperti jalan perumahan dan jalan kampung sentiasa berada dalam keadaan baik, selain meningkatkan pencahayaan terutama di kawasan-kawasan kampung.

Katanya, pendekatan itu penting kerana keperluan penduduk perlu terus diberi perhatian meskipun Tanjung Bidara mempunyai kawasan yang tidak begitu luas dan jumlah penduduk yang tidak ramai.

“Sebenarnya, Tanjung Bidara ini tidak besar dan infrastrukturnya memang sudah berada pada tahap terbaik. Jadi, kita tidak melihat kepada penambahbaikan besar, sebaliknya tumpuan diberikan kepada penyelenggaraan jalan-jalan sedia ada dan keperluan penduduk di sesebuah kawasan.

“Walaupun penduduknya tidak ramai, kepadatan di sesetengah kawasan memerlukan perhatian yang lebih, terutama dari segi pencahayaan seperti lampu jalan.

“Saya sedang berusaha untuk menambah lampu jalan di kawasan lorong-lorong kampung. Selain itu, semua kawasan perumahan dan jalan kampung akan terus diselenggara dengan baik,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Ab Rauf berkata, aspek pencahayaan menjadi antara keperluan yang dikenal pasti untuk dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan kampung.

Beliau berkata, keutamaan itu mencerminkan komitmen untuk memastikan setiap keperluan penduduk Tanjung Bidara diberi perhatian, termasuk perkara yang kelihatan kecil tetapi mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat.

Katanya, selain pembangunan baharu, penyelenggaraan berterusan terhadap kemudahan sedia ada juga penting bagi memastikan penduduk terus menikmati persekitaran yang selesa, selamat dan berkualiti.

“Usaha ini dibuat bagi memastikan pembangunan Tanjung Bidara sentiasa bergerak seiring dengan keperluan semasa penduduk, dengan kemudahan asas yang baik terus dipertahankan dan keperluan baharu ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post MASJID AL-JAWAHIR, WARISAN 115 TAHUN YANG TERUS DIIIMARAH