
MELAKA ‘MESRA’ KESIHATAN RAKYAT
Masa Membaca:4 Minit, 55 Saat
AYER KEROH 3 Oktober – Agenda kesihatan rakyat Melaka terus diperkasa menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan penyakit, saringan awal, bantuan rawatan, kemudahan pengambilan ubat, tindak balas kecemasan serta pembangunan infrastruktur kesihatan.
Menerusi pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kesihatan, Kerajaan Negeri memberi tumpuan bukan sahaja kepada rawatan selepas rakyat jatuh sakit, malah memperluas akses kepada perkhidmatan pencegahan dan sokongan kesihatan, khususnya bagi golongan yang memerlukan.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka, Program MBIO Sihat, MeSRa Ambulans, Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS), penyediaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) serta inisiatif 1 PBT 1 Ambulans.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang tiga tahun diberi amanah mentadbir Negeri Melaka, antara keutamaan terbesar pentadbirannya adalah memperkukuh sistem kesihatan demi rakyat dan seluruh petugas kesihatan.
Atas faktor itu, ujar beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan menjamin kesejahteraan rakyat Melaka.
“Semua ini adalah gambaran jelas bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya akan terus menjadikan kebajikan kesihatan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
RM3 JUTA PERKUKUH PROGRAM KESIHATAN
Kerajaan Negeri menyediakan RM3 juta bagi pelbagai program kesihatan awam termasuk penambahan Saringan Kesihatan Jantung untuk rakyat menerusi Program MBIO Sihat.
Turut diberi perhatian ialah Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka dengan peruntukan RM100,000 bagi membantu pesakit buah pinggang yang berkelayakan, khususnya golongan B40.
Program MeSRa Ambulans pula memberi kemudahan pengangkutan kepada pesakit terlantar B40 bagi urusan kemasukan wad, janji temu serta penggunaan fasiliti kesihatan kerajaan.
MBIO SIHAT PERKASA SARINGAN AWAL
Dalam aspek pencegahan, Program MBIO Sihat memberi tumpuan kepada pengesanan awal kanser menerusi ujian darah secara percuma kepada rakyat Melaka berusia 40 tahun ke atas serta penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Program yang diselaraskan Perbadanan Bioteknologi Melaka itu menerima peruntukan RM540,000 dengan sasaran awal 5,400 penerima.
Bagaimanapun, pelaksanaannya menunjukkan perkembangan lebih besar apabila merekodkan 15,437 penerima bagi tempoh 2023 hingga April 2026.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di klinik kesihatan dan klinik komuniti yang bersesuaian di setiap daerah.
AMBIL UBAT TANPA TURUN DARI KENDERAAN
Bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan, Kerajaan Negeri turut memperluas Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS), termasuk perkhidmatan farmasi pandu lalu.
Kemudahan itu kini tersedia di empat lokasi iaitu Hospital Melaka, Klinik Kesihatan (KK) Masjid Tanah, KK Umbai dan KK Merlimau.
KK Merlimau menjadi lokasi keempat selepas projek rintis diperkenalkan di Hospital Melaka pada 2011, diikuti KK Masjid Tanah pada 2020 dan KK Umbai pada 2026.
Sepanjang 2025, sebanyak 936,067 bekalan ubat susulan direkodkan di Melaka, dengan 181,268 bekalan atau 19.36 peratus menggunakan perkhidmatan VAS.
Daripada jumlah itu, 68,455 bekalan atau 35.5 peratus diperoleh menerusi perkhidmatan farmasi pandu lalu yang ketika itu ditawarkan di Hospital Melaka dan KK Masjid Tanah.
KK Umbai pula merekodkan 1,947 bekalan ubat susulan sejak beroperasi pada Januari, manakala KK Merlimau mencatatkan 121 pesakit menerima manfaat perkhidmatan berkenaan setakat tempoh laporan.

65 AED PERLUAS BANTUAN KECEMASAN
Dalam aspek kecemasan, sebanyak 65 unit Defibrilator Luaran Automatik (AED) iaitu peranti perubatan mudah alih yang membantu memulihkan rentak normal jantung disediakan, termasuk di 13 lokasi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
Pemasangan peralatan itu kini diperluaskan ke bangunan kerajaan, masjid, taman rekreasi dan kawasan tumpuan awam atau ‘hotspot’.
Pada masa sama, latihan penggunaan AED turut diberi perhatian bagi memastikan kakitangan di lokasi berkenaan mempunyai pengetahuan asas untuk memberikan bantuan awal sebelum ketibaan pasukan perubatan.
1 PBT 1 AMBULANS
Pada masa sama, rangkaian tindak balas kecemasan diperkukuh menerusi inisiatif 1 PBT 1 Ambulans yang menyaksikan keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka mempunyai perkhidmatan ambulans sendiri.
PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Keseluruhannya, empat ambulans disediakan dengan dua diserahkan kepada St John Ambulans Malaysia (SJAM) dan dua lagi kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dikendalikan mengikut zon ditetapkan.
Berdasarkan rekod, lebih 160 kes kecemasan sebulan di Melaka memerlukan perkhidmatan ambulans, sekali gus menunjukkan keperluan penambahan ambulans bagi membantu kes-kes kecemasan.
Inisiatif itu turut menjadi pelengkap kepada Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang berperanan sebagai sukarelawan untuk memberi bantuan awal kecemasan sebelum ketibaan ambulans.
INFRASTRUKTUR KESIHATAN DIPERKASA
Dari aspek pembangunan fizikal, antara projek utama yang bakal dinikmati Melaka ialah Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM724 juta yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.
Selain itu, pembinaan Blok Tambahan Klinik Kesihatan Peringgit pula bernilai RM27 juta dan dijangka siap pada November 2028.
Kerajaan Negeri turut merancang Klinik Kesihatan jenis tiga Sungai Rambai bernilai RM49.8 juta serta Klinik Kesihatan jenis tiga Cheng (gantian) bernilai RM43.6 juta, yang kini berada dalam fasa pra-pelaksanaan.
Bagi Hospital Alor Gajah, kerja menaik taraf Dewan Bedah Kedua melibatkan kos RM8.69 juta telah dilaksanakan, selain turut disenaraikan ialah kerja awalan Blok Tambahan Hospital Jasin dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Melaka Tengah, masing-masing bernilai RM500,000.
Sementara itu, projek Hospital Putra 2 dan Brain & Spine Hospital bernilai RM678 juta pula kini dalam proses lantikan kontraktor.
Selain hospital, sebanyak 26 fasiliti klinik kesihatan turut diberi perhatian menerusi kerja naik taraf membabitkan nilai keseluruhan RM15.13 juta.
Daripada 33 klinik kesihatan di Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri turut mengenal pasti sekitar tiga hingga empat klinik yang memerlukan bangunan baharu atau kerja naik taraf bagi menampung peningkatan keperluan pesakit.
DARI PENCEGAHAN HINGGA RAWATAN
Keseluruhannya, pendekatan MeSRa Kesihatan memperlihatkan usaha membina ekosistem kesihatan yang merangkumi setiap peringkat keperluan rakyat.
Daripada saringan awal menerusi MBIO Sihat, bantuan kepada pesakit menerusi Tabung Bantuan Dialisis dan MeSRa Ambulans, kemudahan mendapatkan ubat melalui VAS, bantuan kecemasan menerusi AED dan 1 PBT 1 Ambulans, sehinggalah pembangunan hospital serta klinik, kesemua inisiatif berkenaan melengkapkan rantaian perkhidmatan kesihatan negeri.
Pendekatan itu meletakkan pencegahan, akses, rawatan, kecemasan dan kapasiti fasiliti sebagai komponen yang saling melengkapi dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat Melaka. Inilah makna Melaka Sayang Rakyat!
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
464

