KEHIDUPAN ANAK KAMPUNG CETUS ILHAM KAMPUNG DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat
TANJUNG BIDARA 9 Oktober – Pengalaman membesar di kampung dan berdepan sistem alamat yang dikongsi ribuan penduduk, mencetuskan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memperkenalkan inisiatif Kampung Digital sebagai pendekatan baharu dalam memudahkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, Kampung Digital merupakan projek rintis yang dimulakan di Melaka selepas beliau melihat sendiri kekangan sistem alamat tradisional yang menyukarkan kerajaan mengenal pasti kedudukan sebenar penduduk.
Menurutnya, pengalaman itu bermula apabila alamat kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah turut dikongsi kira-kira 1,000 penduduk yang menggunakan alamat sama.
“Kampung Digital adalah satu produk terbaharu di Malaysia ini. Ia merupakan satu projek rintis yang dimulakan di Melaka berdasarkan kepada kehidupan saya.
“Saya lahir di kampung, dibesarkan di kampung dan selepas saya menjadi Ketua Menteri, alamat rumah saya masih dikongsi iaitu Batu 21, Kampung Pulau, Masjid Tanah.
“Alamat ini dikongsi oleh seluruh penduduk Kampung Pulau dalam Batu 21. Ada kira-kira 1,000 orang dan ini menyukarkan pengesanan alamat bagi tujuan surat-menyurat, penghantaran dan sebagainya,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, kesukaran untuk mendapatkan lokasi sebenar penduduk kampung itu mendorongnya meneliti satu kaedah baharu bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih berkesan.
“Jadi saya mengambil langkah supaya mendigitalkan kampung ini dengan memberikan nombor rumah, sebelah kanan nombor genap dan sebelah kiri nombor ganjil, manakala semua lorong diberikan nama baharu,” katanya.
Ab Rauf berkata, pelaksanaan Kampung Digital dilakukan secara berperingkat bagi memberi ruang dan masa mencukupi kepada penduduk menyesuaikan diri dengan sistem baharu berkenaan.
Katanya, proses itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana masyarakat perlu memahami manfaat sistem berkenaan yang dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan alamat berasaskan sistem lama.
“Pastinya tidak semudah yang kita lihat, ia mengambil masa lama untuk memberitahu bahawa sistem Kampung Digital ini memberi faedah jauh lebih besar daripada kita menggunakan sistem alamat selepas penjajah.
“Alamat batu ini adalah alamat selepas penjajah. Umpamanya kalau kita memanggil telefon kecemasan, macam mana bomba nak datang, macam mana ambulans nak datang, macam mana polis nak datang,” katanya.
Menurutnya, sistem Kampung Digital membolehkan lokasi penduduk dicerap dengan lebih tepat dalam sistem, sekali gus membantu agensi perkhidmatan memberikan bantuan dengan lebih cepat apabila diperlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2027: KERAJAAN BERTEKAD KURANGKAN RISIKO BANJIR SUNGAI RAMBAI
Next post BELANJAWAN 2027: BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN NAIK RM200, PELAJAR TINGKATAN 6 DAPAT ELAUN RM2,500