PRN MELAKA: RAKYAT MAHU PEMBANGUNAN SEIMBANG, EKONOMI LEBIH BERDAYA TAHAN

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Pendapatan lebih baik, kos sara hidup terkawal, pembangunan lebih seimbang dan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap antara harapan yang disuarakan rakyat Melaka menjelang pembentukan Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Bagi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Zulkifly Selamat, 55, pembangunan negeri selepas PRN perlu dilaksanakan secara lebih seimbang dengan mengambil kira keperluan penduduk di setiap daerah supaya manfaat kemajuan dapat dirasai secara menyeluruh.

Katanya, tumpuan pembangunan tidak seharusnya terlalu tertumpu di kawasan yang sudah pesat membangun, sebaliknya daerah yang masih mempunyai ruang untuk berkembang perlu turut diberikan perhatian.

“Pada pendapat saya, pembangunan yang dirancang perlu mengambil kira keperluan penduduk setempat supaya kemajuan negeri tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu.

“Sebagai contoh, pembangunan di daerah Melaka Tengah yang sudah padat boleh dialihkan ke daerah Jasin yang masih dilihat agak ketinggalan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, tekanan kos sara hidup juga antara perkara yang perlu diberi perhatian kerana kenaikan harga barangan memberi kesan secara langsung kepada isi rumah, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Pada masa sama, saya harap Kerajaan Negeri yang akan dibentuk turut mengambil kira kepayahan rakyat dengan kos sara hidup yang semakin menekan,” katanya.

Sementara itu, penduduk DUN Klebang, Mohd Hairul Idris, 47, berharap peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik perlu diperluaskan bukan sahaja untuk golongan muda, malah kepada semua peringkat usia.

“Kalau ditanya apa yang rakyat mahukan untuk Kerajaan Negeri baharu yang akan dibentuk nanti, sudah pasti ia melibatkan peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik untuk rakyat bukan sahaja untuk generasi baharu tetapi semua golongan usia,” katanya.

Katanya, peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik penting bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, selain memberi pilihan kepada generasi muda untuk membina masa depan di negeri sendiri.

Dalam pada itu, aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan turut menjadi perhatian apabila Mohd Hairul berharap usaha pendigitalan urusan awam dapat terus diperkasakan.

“Melaka ini sudah ke depan dari aspek pendigitalan urusan, jadi saya harap penyelarasan antara agensi dan penyampaian maklumat itu biarlah lebih jelas supaya dapat membantu mengurangkan kesulitan rakyat ketika mendapatkan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Bagi penjawat awam, Kamarul Ariffin Isa, yang berasal dari Johor dan telah bermastautin di Melaka selama lebih 24 tahun, kecekapan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat juga perlu menjadi antara keutamaan kerajaan yang bakal dibentuk.

Katanya, saiz Melaka yang relatif kecil seharusnya menjadi kelebihan dalam memastikan urusan rakyat dapat disampaikan dengan lebih pantas, mudah dan berkesan.

“Saya harap Kerajaan Negeri yang dibentuk ini nanti perlu memastikan setiap dasar yang dirangka dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan yang mudah, pantas dan berkesan kepada rakyat memandangkan Melaka merupakan negeri yang kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post KPDN MELAKA BONGKAR TAKTIK BAHARU, RUMAH JADI ‘PORT’ SELEWENG MINYAK
Next post BELANJAWAN 2027: STR DAN SARA NAIK RM16 BILION, 13 JUTA RAKYAT TERIMA MANFAAT